
VERSI PRODUKSI RASMI JETOUR T1 TAMPIL DI KLIMS 2026 – DUA VARIAN, ANGGARAN HARGA MULA RM143K
Versi produksi rasmi JETOUR T1 akhirnya membuat kemunculan sulung kepada umum di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 selepas sebelum ini dipertontonkan sebagai unit pra-produksi di Penang AutoShow 2026.
Kehadiran SUV itu sekali lagi mengukuhkan perancangan JETOUR untuk memperluaskan penawaran kenderaan utiliti sukan mereka di pasaran Malaysia.
Menjelang pelancaran rasminya, pengunjung KLIMS 2026 kini berpeluang melihat dengan lebih dekat model tersebut, malah turut boleh mencuba sendiri pengalaman pemanduan JETOUR T1 menerusi sesi pandu uji yang disediakan.
Selain di KLIMS, model itu juga sudah tersedia untuk pandu uji di bilik pameran sah JETOUR seluruh negara.

JETOUR T1 bakal ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu 1.5L TGDi 2WD dan 2.0L TGDi XWD. Harga anggaran yang diumumkan bermula dari RM143,800 bagi varian 1.5L TGDi 2WD, manakala versi 2.0L TGDi XWD dianggarkan bermula RM153,800.
SUV ini turut tampil dengan empat pilihan warna luaran terdiri daripada Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black.
Bagi varian asas 1.5L TGDi 2WD, ia dijana enjin turbo suntikan terus 1.5 liter yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan bagi memberikan pemanduan yang lancar serta responsif.
Sementara itu, varian 2.0L TGDi XWD hadir dengan enjin turbo suntikan terus 2.0 liter yang lebih berkuasa serta dilengkapi sistem 7+X mod pemanduan untuk keupayaan lebih versatil dalam pelbagai keadaan jalan.
Dari sudut kabin, kedua-dua varian menawarkan pendekatan berbeza mengikut keperluan pengguna. Varian 1.5L TGDi 2WD memberi fokus kepada praktikaliti dan keselesaan harian, manakala versi 2.0L TGDi XWD tampil lebih premium dengan pelbagai ciri tambahan.

Antara spesifikasi utama JETOUR T1 1.5L TGDi 2WD:
- Enjin 1.5L turbo direct injection
- Transmisi dwi-klac 7-kelajuan
- Tempat duduk kulit sintetik
- Kerusi pemandu larasan kuasa
- Skrin multimedia 12.8-inci
- Sistem audio 8 pembesar suara
- Pencahayaan ambien monokrom
Antara spesifikasi utama JETOUR T1 2.0L TGDi XWD:
- Enjin 2.0L turbo direct injection
- Sistem 7+X mod pemanduan
- Skrin multimedia 15.6-inci
- Sistem audio premium SONY 9 pembesar suara
- Pencahayaan ambien 64 warna
- Kerusi pemandu dengan fungsi memori
- Kerusi penumpang hadapan larasan kuasa
- Sunroof panoramik
Dari aspek keselamatan, JETOUR T1 turut menerima penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP berdasarkan protokol penilaian 2021–2025, sekali gus menambah keyakinan pengguna terhadap tahap perlindungan yang ditawarkan SUV tersebut.
Selain T1, ruang pameran JETOUR di KLIMS 2026 turut menampilkan model lain seperti G700, VT9, Dashing, T2 dan T2 i-DM sebagai sebahagian daripada pengembangan portfolio SUV jenama itu di Malaysia.
GALERI:













