Motosikal

Vespa LX150 Edisi Apple

Jenama skuter ikonik dari Itali itu kini kembali dengan kempen Vespa tahun 1969 untuk peminat tempatan.

Pengedar  rasmi skuter jenama Vespa di Malaysia, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza  Premira) baru-baru ini menambah pilihan rangkaian skuter Vespa sedia ada dengan pengenalan varian LX150 edisi Apple.

Hanya 168 unit ditawarkan di Malaysia. Jangan salah anggap, Vespa LX150 edisi Apple tiada kena mengena dengan syarikat pengeluar gajet dan peranti pintar terkenal dunia, Apple Inc.

Sebaliknya, Vespa versi Apple diperkenalkan bagi memperingati kempen pengiklanan paling popular di Itali yang dijalankan pada tahun 1969.  Slogan kempen itu dalam bahasa Itali berbunyi Chi Vespa mangia le  mele (If you ride a Vespa, you take a bite  of the Apple).

Slogan tersebut dicipta oleh Gilberto Filippetti daripada agensi pengiklanan Leader di Florence, Itali. Menurutnya, epal dipilih kerana dikatakan merupakan simbol kepada  kesihatan, muda, berkhasiat dan digilai ramai.

Kempen pengiklanan itu sebenarnya digunakan untuk model Vespa 50 Special. Ia disifatkan sebagai tepat pada masanya kerana pada ketika itu seramai 16 juta golongan muda di Itali memerlukan sebuah kenderaan yang sesuai bagi tujuan mobiliti.  Era itu juga merupakan tempoh transisi Itali ke arah pembentukan sebuah negara perindustrian.

Malaysia merupakan negara kedua selepas Vietnam yang menawarkan Vespa  LX150 edisi Apple. Produk keluaran kilang Piaggio di Hanoi, Vietnam itu hanya didatangkan dalam warna putih.

Sentuhan kosmetik melibatkan grafik epal pada bahagian hadapan dan kedua-dua sisi skuter. Tempat duduknya pula menggunakan warna merah putih, selain satu logo epal  bersaiz kecil.

Aspek mekanikal jentera itu tidak berubah. Ia masih menggunakan khidmat unit enjin bersesaran 150cc. Enjin empat lejang dengan sistem penyejukan udara yang   dipadankan bersama transmisi automatik itu berupaya menghasilkan kuasa maksimum 11.66hp @ 7,750rpm dan tork 11.5Nm  @ 6,000rpm. Seberat 110 kilogram, jentera itu mampu mencapai kelajuan maksimum 95 kilometer sejam.

Tugas membrek diserahkan kepada gabungan brek cakera bersaiz 200 milimeter (mm)  di hadapan dan gelendong pada roda belakang  (110mm).  Anda boleh menghidupkan enjin Vespa LX150 melalui dua cara. Sama ada dengan menekan butang pemula atau penendang kaki.

“Vespa merupakan skuter gaya hidup  yang disukai di Malaysia. Buktinya, pada tahun lepas sahaja, sebanyak 1,000 unit Vespa telah berjaya dijual,” kata Pengerusi Eksekutif  Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM  Faisal SM Nasimuddin.

Naza Premira mensasarkan untuk menjual sebanyak 2,000 hingga 3,000 unit Vespa pada 2013. Justeru, bagi merealisasikan sasaran tersebut, Naza Premira bakal membuka lima cawangan baharu di Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Sarawak pada tahun ini.

Buat masa ini, terdapat dua buah bilik pameran Vespa iaitu di Petaling Jaya dan Kota Damansara, Selangor.

Vespa LX150 edisi Apple ditawarkan pada harga RM11,388 seunit (di atas jalan).  Sempena sambutan Tahun Baru Cina, anda boleh memiliki skuter LX150 pada harga RM8,888 sebuah (harga asas). Stok adalah terhad  dan promosi hanya sah hingga 28  Februari 2013.

[hr top]
 Gallery
[hr_invisible]

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button