
Ducati Monster 795 ABS
Model naked popular Ducati yang dihasilkan di kilang Ducati di Thailand itu kini dilengkapi sistem brek antikunci (ABS).
Anak syarikat Kumpulan Naza, Ducati Malaysia (Next Bike Sdn. Bhd.) menunaikan janjinya kepada peminat motosikal Ducati di Malaysia apabila melancarkan satu lagi varian Ducati Monster yang baru iaitu 795 ABS.
Meneliti sejarahnya secara ringkas, Ducati Monster membuat debut dalam Cologne Motorcycle Show pada tahun 1992. Motosikal yang memiliki reka bentuk inovatif dan mengagumkan ramai orang peminat itu kemudian diproduksi pada tahun 1993.
Ia mencipta segmen naked moden dan pantas menjadi model terlaris Ducati. Sebagai jentera ikonik, lebih 250,000 unit Monster berjaya dijual di seluruh dunia. Selepas 20 tahun, Ducati Monster dilihat masih mampu mengekalkan popularitinya. Di Malaysia, terdapat kira-kira 900 unit Ducati Monster berada di atas jalan raya.
Jentera tersebut menggunakan enjin L-Twin bersesaran 803cc dengan transmisi enam kelajuan. Dilengkapi sistem suntikan bahan api Siemens, ia mampu menjana kuasa mencecah 87hp @ 8,250rpm. Tork maksimum pula adalah sebanyak 78Nm @ 6,250rpm.
Menerusi sistem brek ABS pada kedua-dua roda, keupayaan membrek jentera itu dapat ditingkatkan secara signifikan. Roda hadapan Ducati Monster 795 ABS dipasang dengan dua set brek cakera berukuran 320 milimeter (mm) dan satu cakera berukuran 245mm untuk roda belakang.
Komponen brek ABS telah menambah berat Monster 795 ABS menjadi 169 kilogram (kg). Jika tanpa ABS, beratnya adalah 167kg. Enjin dan spesifikasi lain pada varian Monster 795 ABS adalah sama dengan model Monster 795. Penambahbaikan tertumpu pada sistem brek sahaja.
Selari dengan penerimaan positif pasaran terhadap jenama Ducati, Ducati Malaysia mengumumkan rancangan untuk membawa masuk enam model baharu pada tahun ini. Entiti itu juga mahu melebarkan sayap perniagaanya menerusi pembukaan bilik pameran di wilayah Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.
Ducati Monster 795 ABS dijual pada harga jualan asas RM66,888 sebuah dan hadir bersama jaminan selama dua tahun. Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman web: www.ducati.com.my.
[hr top]Gallery
[hr_invisible] [hr]