Artikel Pilihan

VOLVO DYNAMIC STEERING-GUNA KAWALAN JAUH

Secara umum semua peminat sudah mengenali jenama Volvo, kerana selain terlibat dalam pembangunan inovasi pada kenderaan penumpang, Volvo juga terlibat dalam penghasilan kenderaan berat terutama lori bagi sektor logistik dan pengangkutan.

Namun berbeza dengan jenama lain, Volvo adalah salah satu syarikat yang rajin membuat inovasi baik dari segi sistem trenkuasa dan juga keselamatan. Terbaru mereka memperkenalkan teknologi Volvo Dynamic Steering bagi lori keluaran mereka. Tujuannya memudahkan tokey syarikat dan mengurangkan bebanan kerja pada pemandu.

Teknologi Volvo Dynamic Steering ini menggabungkan motor elektrik dan juga sistem stering gear dengan hidraulik. Motor elektrik ini akan dipantau dan dikawal 2000 kali dalam sesaat oleh sistem ECU berdasarkan input dari pemandu dan pengesan yang dipasang pada lori. Ia membolehkan arahan stering yang dihantar kepada pemandu adalah tepat dalam setiap keadaan

Ada beberapa kelebihan pada sistem Volvo Dynamic Steering ini. Pertama ia akan mengurangkan bebanan pemandu untuk memutarkan stering ketika halaju rendah dan muatan yang tinggi. Pulas sebelah tangan pun boleh tak ada masalah walaupun embawa muatan 10 ekor gajah di belakang.

Semasa dipandu laju di lebuh raya, ia akan meningkatkan ketasbilan lori jika dipandu di laluan lurus. Jadi pemandu tak perlu sentiasa membetulkan kedudukan stering lantas mengurangkan tekanan pada pemandu. Jika lori melalui jalan yang tidak rata seperti jalan yang tinggi sebelah, sistem Volvo Dynamic Steering ini akan mengasingkan gangguan dari tayar agar tidak mempengaruhi stering

Sistem ini juga bertindak dengan membuat pembetulan secara automatik pada stering jika terdapat angin lintang yang bertindak pada sisi lori. malah Volvo menegaskan jika tayar depan meletup, sistem ini mampu mengambil alih kawalan stering bagi mengelakkan kemalangan berlaku.

1. Rod Stering 2. Unit Kawalan 3. Gear Steering Bantuan Hidraulik 4. Motor Elektrik 5. Pengesan Data Pemandu 6. Pengesan Pergerakan Lori

Jika anda rasakan semua sistem ini cukup canggih, Volvo Dynamic Steering ini ada kelebihan lain lagi, iaitu lori Volvo yang dilengkapi dengan sistem ini boleh dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh, macam main drone.

Apa yang pemandu lori perlu lakukan ialah hidupkan suis khas pada papan pemuka, dan gunakan alat kawalan jauh yang disediakan. Alat ini membenarkan pemandu mengawal input pedal minyak, pedal brek, roda dan juga roda steering. Alat kawalan jauh ini akan berhubung dengan Body Building Module.

Arahan dari modul ini akan dihantar kepada Volvo Dynamin Steering bagi mengubah haluan lori. Bagi memastikan keselamatan, halaju lori maksima sewaktu sistem ini beroperasi ditetapkan pada 10km/j sahaja. Ia sesuai untuk digunakan sewaktu lori Volvo beroperasi di kawasan yang sempit ataupun ketika kerja penyelenggaraan awam dilakukan

Google ads
Back to top button