YOKOHOMA BUAT SEMULA TAYAR 60AN! 10 INCI PUN ADA
Semakin industri automotif ke hadapan semakin kereta klasik dihargai. Sebagai contoh pengeluar seperti Nissan dan Toyota yang menghasilkan semula alat ganti untuk model ikonik mereka.
Sebelum itu peminat kereta boleh mendapatkan roda aloi baharu dengan reka bentuk klasik dan di antara yang popular ialah jenama tempatan Atara Racing.
Bagaimana dengan pemilik kereta klasik yang mahukan tayar dengan spesifikasi standard? Tayar kereta klasik dikenali dengan saiznya yang kurus dan tinggi.
Ini ada berita gembira buat pemilik dan peminat apabila Yokohoma menghasilkan semula tayar untuk kereta klasik. Walaupun dengan gayaan dan reka bentuk klasik, binaan tayar tersebut menggunakan teknologi moden.
Siri pertama tayar klasik ialah G.T Special Y350 yang mengimbas kembali ke 1967 iaitu tahun Yokohoma dilancarkan dan generasi pertama yang menggunakan teknologi radial.
Tayar itu sesuai digunakan untuk model bersejarah dari Jepun dan Eropah dari era 60an hingga 70an. Saiz tayar yang ditawarkan ialah dari 14 inci hingga 15 inci.
Yokohama ADVAN A008P pula adalah model asal yang digunakan pada 911 Carrera Turbo (930). Tayar itu dikeluarkan semula dengan tanda N0 untuk saiz klasik 245/45ZR16 dan 205/55ZR16.
ADVAN HF Type-D 008 pula unik dengan tayar 10 inci sehingga 15 inci. Siri itu dibuat khusus untuk kereta moden klasik dari era 80an dan 90an.
Siri A539 ditawarkan untuk roda berukuran 12 inci hingga 15 inci dan sesuai digunakan pada pelbagai jenis model kereta klasik.
Pengumuman ini sebenarnya dibuat di United Kingdom dan kami tidak pasti mengenai harga dan adakah ia bakal ditawarkan di tempat lain seperti negara kita.
Jika tiada atau belum, itu tidak menjadi masalah dengan kemudahan komunikasi dan logistik yang ada pada hari ini. Import sahaja.