Buletin

VOLVO EC40 2025 DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 554KM, WARNA LUARAN BAHARU, HARGA BERMULA RM288K

Volvo Car Malaysia secara rasmi memperkenalkan semula Volvo EC40, SUV crossover elektrik sepenuhnya yang sebelum ini dikenali sebagai Volvo C40 Recharge.

Kini ditawarkan sebagai model tahun 2025, Volvo EC40 tampil dengan peningkatan jarak gerak sehingga 554km serta warna luaran baharu, Cloud Blue.

Ciri Utama Volvo EC40

Volvo EC40 mengekalkan pelbagai ciri utama serta tawaran selepas jualan, termasuk:

  • Bateri 82kWh yang menyokong pengecasan DC maksimum sehingga 200kW, membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 28 minit.
  • Lampu hadapan piksel yang menggunakan sensor untuk mengawal pencahayaan ke hadapan, melaraskan kecerahan untuk kawasan tertentu bagi mengurangkan silau kepada lalu lintas dari hadapan.
  • Perkhidmatan Digital percuma selama lima tahun, memberikan akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store serta fungsi kawalan jauh aplikasi Volvo Cars.

Volvo EC40 kini hadir dengan warna luaran baharu, Cloud Blue, melengkapi pilihan warna sedia ada seperti:

  • Onyx Black
  • Crystal White
  • Silver Dawn
  • Sage Green

Prestasi dan Teknologi Pemanduan

Volvo EC40 ditawarkan dalam varian motor berkembar pacuan semua roda (AWD) dengan motor elektrik belakang magnet kekal generasi kedua yang lebih berkuasa dan dibangunkan sendiri oleh Volvo.

Dengan output maksimum 300kW, konfigurasi baharu ini menekankan penghantaran kuasa di bahagian belakang untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik.

Selain itu, model ini menawarkan peningkatan jarak pemanduan per cas penuh sehingga 554km.

Harga dan Tawaran Istimewa

Volvo EC40 ditawarkan pada harga RM288,888, sama seperti model sebelumnya. Pelanggan boleh menikmati pilihan pembiayaan fleksibel serta kadar faedah lebih rendah menerusi Volvo Car Financial Services.

Lebih menarik, pelanggan yang membuat tempahan Volvo EC40 dari sekarang hingga 31 Mac 2025 akan menerima baucar wallbox percuma bernilai RM5,000.

Google ads
Back to top button