
VOLVO EX40, EC40 DAN XC40 BLACK EDITION TAMPIL MENAWAN!
Pada 2023 Volvo menawarkan XC60 Black Edition yang menerima sambutan baik.
Masih ada lagi model yang mempunyai potensi dan terbaru Volvo memperkenalkan tiga model Black Edition sekaligus iaitu EX40, EC40 dan XC40 untuk pasaran United Kingdom.
Dari mana datangnya EX40 dan EC40? Bukan model baharu tetapi penamaan semula XC40 Recharge dan C40 Recharge.

Keistimewaan Black Edition terletak pada warna Onyx Black dan rim lima rongga saiz 20 inci dalam warna hitam kilauan tinggi.
Dua ciri tersebut berjaya menaikkan lagak misteri dan elegan siri 40 Volvo. Lagi perkakasan istimewa seperti logo hitam kilauan tinggi dan pilihan dalaman microtech atau tekstil gelap.
Sebagai kenderaan elektrik, EX40 boleh dipandu sehingga 576 kilometer (km) manakala EC40 sehingga 583 km.
Penghantaran pertama untuk pelanggan dijangka pada suku kedua 2024.

Berbalik kepada penamaan baharu, Volvo sedang memperkemaskan dan menyeragamkan nama model elektrik penuh dan selari dengan transformasi untuk menjadi pembuat kereta elektrik menjelang 2030.
Model elektrik C40 Recharge dan XC40 Recharge masing-masing menggunakan nama baharu EX40 dan EC40.
Nama XC40 pula kekal untuk model yang dikuasakan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Selain itu, penamaan tersebut kini seragam dengan model elektrik lain seperti EX30, EX90 dan EM90.

Transformasi Volvo ke arah pembuat kereta elektrik sepenuhnya juga sedang berjalan baik.
Jualan model elektrik pada 2023 adalah sebanyak 16 peratus daripada keseluruhan dan walaupun rendah melonjak 70 peratus berbanding 2022.
Tiga model baharu iaitu EX30, EX90 dan EM90 akan diserahkan kepada pelanggan tahun ini dan portfolio produk elektrik Volvo bertambah kepada lima selain beberapa lagi model yang bakal diperkenal.
Dengan penamaan baharu, logo Recharge tidak lagi digunakan pada model hibrid plug-in dan kini hanya dilekatkan tanda nama T6 atau T8 bagi membezakan tahap kuasa.

Langkah terbaru ini juga memudahkan pelanggan sedia ada dan baharu untuk memahami model elektrik penuh atau hibrid.
Ringkasnya, huruf E menandakan model tersebut digerakkan kuasa bateri.
Satu lagi berita menarik ialah Volvo memperkenalkan pek perisian Performance untuk model EX40 dan EC40 Twin Motor.
Perisian tersebut meningkatkan kuasa sehingga 25 kilowatt (kW) untuk pecutan lebih pantas selain pemetaan unik bagi tindak balas pedal lebih cepat.
Juga menarik, mod pemanduan Performance khas yang membolehkan pemandu menikmati kuasa penuh 325kW.
Bukan sahaja pelanggan baharu, Volvo turut menawarkannya kepada pemilik sedia ada.
Model hibrid tidak dilupakan untuk ditambah baik. XC60 dan XC90 B5 petrol mild-hybrid kini mempunyai kitaran kebuk yang lebih cekap.
Penambahbaikan itu dijangka menurunkan pelepasan karbon dioksida dan lebih jimat petrol iaitu sekitar empat peratus untuk XC60 dan dua peratus pada XC90 (kitaran WLTP).































