Buletin

VOLVO S90 AMBIENCE CONCEPT – BOS BESAR MESTI SUKA NI… 

Volvo Cars semalam memperkenalkan S90 Ambience Concept, satu pengalaman deria pertama di dunia yang mengharmonikan aspek visual, bunyi dan bau untuk mendefinisikan kembali kemewahan di dalam kereta. 

S90 Ambience Concept yang akan melakukan debut pada acara  Beijing Auto Show 2018 itu dibina di atas varian teratas S90 Excellence. Saloon eksekutif tiga tempat duduk itu  fokus kepada penumpang di tempat duduk belakang.

Penumpang atau boss boleh menukar atmosfera kabin menerusi aplikasi telefon pintar dan memilih salah satu daripada tujuh tema.

“Ambience Concept membawa aspek kemewahan ke satu tahap berbeza yang melangkaui pemilihan material. Ia mencipta sebuah kenderaan yang mampu berhubung dengan deria anda.

“Reka bentuknya meneroka perasaan manusia ketika berada di dalam kereta dan membolehkan penumpang mempengaruhi mood mereka sendiri,” kata Naib Presiden Kanan Reka Bentuk Volvo Cars, Robin Page.

Elemen visual menukar siling kereta berdasarkan kepada tema yang dipilih. Ini termasuklah cahaya aurora, hutan Scandinavian, Swan Lake, Archipelago dan hujan. Setiap satunya memberikan mood berbeza kepada penumpang.

Terdapat juga tema waktu malam (Nocturnal) untuk berehat. Manakala tema bebas (Freedom) pula memberikan lebih kesegaran dan tenaga.

Muzik yang sepadan dengan tema pula dimainkan menerusi sistem audio premium Bowers & Wilkins. Beberapa unit tweeter kecil yang dipasang pada bahagian perehat kepala menawarkan pengalaman mendengar muzik yang cukup mengasyikkan.

Bukan itu sahaja, setiap tema tersebut juga dipadankan dengan salah satu daripada empat haruman yang dihasilkan oleh Byredo. Wangian itu dikeluarkan secara serta-merta dari konsol tengah.

Walaupun S90 Ambience dilancarkan sebagai sebuah model konsep, Volvo Cars merancang untuk merealisasikannya ke dalam model S90 Excellence, terutama untuk pasaran China.

Tahun lalu, Volvo berjaya menjual lebih 100,000 unit kereta buat pertama kali di China. Ia menyumbang kepada rekod jualan dan pertumbuhan Volvo yang signifikan untuk empat tahun berturut-turut.

Untuk makluman, China merupakan pasaran terbesar buat Volvo Cars dan model S90.

Google ads
Back to top button