Buletin

WRC 2025 – ADRIEN FOURMAUX KINI SAHIH SERTAI PASUKAN HYUNDAI MOTORSPORT

Akhirnya kini tiba pula giliran pasukan Hyudai Motorsport untuk melengkapkan senarai barisan pemandu mereka bagi menghadapi saingan FIA World Rally Championship (WRC) musim 2025 nanti.

Umum sebelum ini mengetahui pasukan Hyundai Motorsport terlebih dahulu mengesahkan akan duo utama mereka, Thierry Neuville dan Ott Tanak akan kekal bersama pasukan yang berasal dari Korea Selatan itu bagi musim WRC.

Musim ini diibaratkan antara kemuncak prestasi buat barisan pemandu Hyundia Motorsport bersama jentera Hyundai i20 N Rally1 apabila menyaksikan duo mereka Thierry Neuville dan Ott Tanak bersaing sehingga ke perlumbaan terakhir untuk perebutan tahta WRC 2024.

Kehadiran Thierry Neuville yang akan terus menyertai pasukan Hyundai Motorsport setelah mula menyertai pasukan bermula tahun 2014 pastinya akan memberikan reputasi dan hormat daripada pihak lawan apatah lagi beliau kini adalah juara dunia WRC 2024.

Manakala Ott Tanak yang akan turut sekali lagi kekal bersama Hyundai Motorsport terbukti bahawa beliau juga berupaya memainkan peranan penting buat pasukan. Bukan sahaja beliau mengejar kejuaraan tahta WRC sehingga ke akhir musim malah turut membantu Hyundai Motorsport untuk mengejar tahta Pengeluar sehingga ke perlumbaan terakhir di Japan.

Barangkali nasib beliau tidak berapa baik apabila mengalami kemalangan sekali gus membuatkan beliau terlepas tahta dan juga gagal membantu pasukan untuk mendapatkan mata penting.

Dan berita yang cukup penting, adalah kemasukan Adrien Fourmaux dan juga rakan Juruarah Alexandre Coria untuk memandu jentera Hyundai i20 N Rally1 untuk 14 pusingan perlumbaan WRC musim hadapan.

Penyertaan pemandu Perancis berusia 29 tahun ke pasukan Hyundai Motorsport itu dilihat sebagai suatu langkah berani dalam usaha untuk merampas tahta Pengeluar WRC setelah pasukan dari Korea Selatan itu hanya dipisahkan dengan tiga mata sahaja ketika tamat perlumbaan di FORUM8 Rally Japan tempohari.

Kerjaya Adrien Fourmaux dalam dunia rali mungkin dilihat sedikit lewat. Beliau hanya mula beraksi secara kompetetif pada tahun 2017 dan dengan pantas menarik perhatian pemilik pasukan M-Sport Ford, Malcolm Wilson. Dan rezeki beliau pada tahun 2021 apabila berpeluang untuk naik pangkat ke pasukan utama dan memandu jentera Ford Fiesta WRC.

Akibat daripada prestasi yang kurang memberangsangkan, Adrien Fourmaux diturunkan seketika ke pasukan WRC2 dengan memandu jentera Ford Fiesta Rally2 dan sempat beraksi dalam kejuaraan British Rally Championship untuk muncul juara.

Dan hasilnya musim ini menyaksikan Adrien Fourmaux mempamerkan aksi yang cukup membanggakan dengan lima kali menaiki podium di tempat ketiga. Musim ini juga menyaksikan beliau berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan pungutan mata WRC.

Sungguh pun demikian, Hyundai Motorsport juga sebetulnya masih terbuka kebarangkali menurunkan jentera keempat mereka melalui Dani Sordo, Andreas Mikkelsen dan juga Esapekka Lappi untuk pusingan tertentu.

BACA : HYUNDAI MOTORSPORT UMUMKAN PERUBAHAN BARISAN PEMANDU MUSIM INI

BACA : THIERRY NEUVILLE SAMBUNG KONTRAK BERSAMA HYUNDAI SEHINGGA TAHUN 2025

Google ads

B K

Back to top button