VOLVO EX30, KERETA ELEKTRIK UNTUK ORANG KAYA
Jika anda ingat, sebelum ini Volvo ada sebuah crossover kompak yang tersendiri yang dihasilkan daripada model XC40. Ia dihasilkan dalam 2 varian samaada XC40 Recharge dan C40 Recharge dengan kedua dua model dihasilkan berdasarkan platfrom asal XC40 yang menggunakan enjin petrol
Namun setelah beberapa kali memandu uji XC40 dan C40 Recharge, penulis dapat simpulkan yang SUV elektrik Volvo ini agak berat sebenarnya. Ia ibarat anda mendukung seekor lembu bunting, merompak kebahagiaan anda sewaktu mengambil selekoh
Sehinggalah penulis memandu uji varian terbaru crossover kompak daripada Volvo yang dinamakan sebagai EX30. Berbeza dengan model sebelum ini, EX30 dihasilkan daripada platform papan luncur khas untuk kereta elektrik
Namun platform Scalable Experience Architecture ini sebenarnya dihasilkan oleh Geely, turut digunakan pada model Smart #1 dan juga Zeekr. Ya platform mungkin sama, tapi dari segi rekaan kabin dan juga rekaan bahagian atas Volvo EX30 jauh berbeza daripada model Smart dan juga Zeekr
Rekaan crossover premium dan kompak yang diketengahkan oleh Volvo ini berjaya meraih anugerah Red Dot Design Award pada tahun 2024 dengan rekaan yang ringkas, elegen dan nampak mewah tanpa perlu berlebih-lebihan
Malah dengan harga permulaan RM 189,000 bagi varian Plus, RM 209,000 bagi varian Ultra dan RM 229,000 bagi varian Ultra Performance harga yang diminta dengan logo Volvo yang terpampang pada jeriji depan adalah harga yang sedap didengar
Walaupun datang dengan tema rekaan kereta elektrik dan jeriji depan tanpa lubang, logo Iron Cross Volvo masih lagi kelihatan terpampang megah di depan. Identiti Volvo juga dikemaskan dengan rekaan lampu depan Tukul Thor yang telah lama digunakan oleh Volvo
Rekaan rim EX30 juga nampak menarik, dengan rim aero bersaiz 19 inci aloi sepenuhnya sedangkan jenama lain ada yang menggunakan penutup plastik untuk tujuan aerodinamik. Rekaan sisi pula menampilkan hud depan rekaan clamsheel dan juga bahagian sisi tanpa penutup plastik bagi rekaan yeng lebih elegan
Mungkin bagi sesetengah peminat, rekaan belakang nampak terlalu ringkas. Namun bagi penulis, rekaan lampu belakang yang dipecahkan kepada 2 bahagian tersebut nampak bergaya dengan perkataan VOLVO tertulis antara lampu belakang
Bagi memenuhi aspirasi pelepasan gas karbon dioksida yang rendah, 17% kemasan papan pemuka dan komponen plastik dihasilkan dari plastik kitar semula. Rekaan papan pemuka depan seakan hilang imej dan identiti Volvo.
Ya skrin 12.3 inci masih lagi diapit dengan 2 corong penyaman udara, tapi nampak ringkas tanpa perumah untuk skrin tersebut. Apatah lagi pemandu tidak lagi diberikan meter digital dengan semua maklumat pemanduan disumbat pada skrin tunggal ini
Namun secara keseluruhan, imej premium dan eksklusif Volvo masih ada pada rekaan dalaman, cuma nampak agak ringkas tapi rekaan ini adalah jauh lebih baik daripada model Tesla dan kebanyakan kereta elektrik buatan China
Pada hemat penulis, EX30 direka untuk menarik lebih ramai pemandu muda dengan rekaan yang agak kontreversi seperti roda stering yang agak berpetak, tombol pintu seperti pedang, pembesar suara digantikan dengan soundbar Harman Kardon 9 pembesar suara 9 channel yang menghasilkan 1040watt
Papan pemuka, kemasan pintu dan balutan kusyen turut diserikan dengan kemasan fabrik seakan denim bagi memberikan imej muda pada EX30. Cuma penulis kurang berkenan yang ruang simpanan pada papan pemuka hanya boleh dibuka dengan menggunakan butang maya pada skrin shaja
Sistem Android Automotive Operating System yang digunakan dihasilkan dengan menggunakan open souce Google, berupaya mengira peratusan bateri yang diperlukan untuk sampai ke destinasi. Malah sistem ini juga mampu mengira jika anda memerlukan berapa peratus pengecasan semula untuk sampai ke rumah
Namun ruang untuk penumpang belakang terasa sedikit sempit untuk penulis dengan ketinggian 165cm selepas kusyen depan dilaraskan untuk pemanduan yang selesa. Kusyen belakang terasa tidak kena dengan hip point yang rendah, base kusyen yang pendek serta sudut menyandar yang terasa agak menegak
Malah ruang belakang tidak disediakan dengan ruang simpanan tambahan seperti poket belakang kusyen, tempat untuk meletak minuman melainkan ruang simpanan tengah yang turut dikongsi dengan penumpang depan
Ruang kargo di belakang menawarkan sehingga 379 liter dan boleh dibesarkan menjadi 904 liter apabila kusyen belakang dilipat. Ruang simpanan depan pula hanya menawarkan 7 liter sahaja, cukuplah untuk anda menyimpan kabel mengecas
Volvo EX30 juga menawarkan lampu kabin dengan 5 tema berbeza seperti Archipelago, Nordic, Midsummer, Northern light, dan juga Forest. Cuma penulis tidak sukakan dengan bunyi yang disertakan dengan setiap tema pencahayaan ini.
Bagi Volvo EX30 pasaran Malaysia, semua varian akan dipasang dengan bateri Ion Lithium Nickel Manganese Cobalt berkapasiti 69kWh (usable 64kWh). Sistem On Board Charger boleh menerima sehingga 11kW bagi mengecas bateri sehingga penuh dalam masa 8 jam atau sistem DCFC 175kWh bagi pengecasan pantas 10-80% dalam masa 28 minit.
Hanya varian Ultra Performance ditawarkan dengan tetapan 2 motor elektrik yang menjana sehingga 428 kuasa kuda dan 543Nm tork yang berupaya memecut dari statik ke 100km/jam dalam masa 3.6 saat sahaja sebelum halaju tertinggi dihadkan pada 180km/jam
Bagi varian Ultra Performance, ia boleh dipandu sehingga 450km sekali caj dan bagi varian Ultra satu motor pula jarak perjalanan adalah 476km. Pemerhatian penulis mendapati Volvo EX30 mampu memberikan kecekapan penggunaan tenaga sehingga 7.025km bagi setiap 1kWh tenaga, pada halaju 110km/jam
Jadi jika anda memandu di lebuhraya dengan halaju malar 110km/jam, jarak pemanduan maksimum adalah sehingga 449km sekali caj.
Volvo memilih untuk memasang stering dengan ratio pendek pada EX30, hanya memerlukan 1.4 pusingan sahaja untuk ke kiri atau ke kanan. Apabila digabungkan dengan suspensi MultiLink di roda belakang dan juga jarak antara roda 2650 yang pendek, maka EX30 memang terasa lincah di selekoh
Apatah lagi Volvo berjaya mengekang berat EX30 ini dibawah 2000kg menjadikannya lebih seronok di selekoh jika dibandingkan dengan Volvo XC40 dan C40. Pada pendapat penulis, Volvo EX30 antara kereta elektrik yang seronok dipandu, selepas Tesla Model 3
Namun dengan limitasi sistem penyerap hentak pasif, maka Volvo EX30 hanya boleh mengutamakan pengendalian sahaja. Pengalaman penulis dengan jalan tidak rata mendapati EX30 terasa sedikit keras sehingga mengganggu keselesaan penumpang belakang
EX30 juga ditawarkan dengan ciri pemanduan satu pedal, namun penulis mendapati kaki penulis lagi cekap berbanding dengan ciri ini
Pada hemat penulis, kualiti bunyi dari Soundbar Harman Kardon sekadar “OK” sahaja. Seingat penulis, kualiti bunyi Bang & Olufsen atau Bowers & Wilkins yang pernah digunakan oleh Volvo satu ketika dulu jauh lebih sedap
Untuk perjalanan jarak jauh, sokongan pada belakang penulis membolehkan penulis memandu 2 jam tanpa rasa penat atau lenguh. Pada halaju 110km/jam, EX30 mencatatkan bacaan sekitar 54dB sahaja dan hanya bunyi deruman tayar sahaja yang kedengaran
Dalam aspek keselamatan, Volvo EX30 dipasang dengan ciri brek kecemasan yang boleh mengesan penunggang basikal dan skuter lengkap di depan atau belakang kenderaan, dengan ciri mengelak pada stering. EX30 juga dilengkapi dengan ciri Auto High Beam pada lampu depan
Namun satu perkara yang menjengkelkan penulis ialah ciri Driver Attention Alert dengan alat pengesan dipasang pada stering depan pemandu. OK masalahnya ialah, hampir semua ciri atau kawalan EX30 “ditanam” di dalam skrin.
Setiap kali anda mengalihkan mata dan menggunakan skrin ketika memandu, ia akan menyebabkan sistem amaran berbunyi. Jadi kenapa semua butang fizikal dihilangkan dan digantikan dengan arahan pada skrin?
Selain daripada isu di atas dan ruang yang sempit untuk penumpang belakang, penulis rasakan EX30 adalah sebuah crossover elektrik kompak yang bagus dan premium. Mungkin jika diparkir di valet hotel ia akan nampak lebih gah
Namun tidak dinafikan bahawa hampir 70% ciri moden tadi disumbangkan oleh Geely, iaitu pemilik jenama Volvo ketika ini. Tapi selagi ia memberikan “feel” yang premium pada pemilik maka penulis rasa tiada masalah
Maka tidak hairanlah Volvo EX30 ini menerima anugerah Carwow Cay of The Year 2024 dan juga Top Gear Eco Warrior 2023