Buletin

WRC 2025 – KEMENANGAN DRAMATIK UNTUK ELFYN EVANS DI RALLY SWEDEN

Pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Elfyn Evans akhirnya berjaya muncul sebagai juara bagi perlumbaan kedua yang penuh dramatik bagi kempen FIA World Rally Championship (WRC) musim ini di Rally Sweden.

Elfyn Evans yang juga pemenang podium kedua sewaktu perlumbaan pembukaan di Rallye Monte-Carlo ternyata cukup unggul apabila mula berjaya mendahului meninggalkan pesaing lain di awal saingan.

Pun begitu, ketika saingan mula berganjak SS demi SS, hanya terdapat dua nama sahaja yang mula memburu kejuaraan di Rally Swden dengan membabitkan permukaan bersalji itu. Ternyata rakan sepasukan Takamoto Katsuta rupanya berjaya memberikan saingan yang sengit kepada Elfyn Evans sehingga ke akhir saingan. Malah, Takamoto Katsuta sempat juga menjadi pendahulu ketika ketika saingan berbaki dua peringkat perlumbaan.

Namun akhirnya Elfyn Evans berjaya mengenepikan pemandu dari Jepun tersebut dengan hanya kelebihan 3.8 saat sahaja sekali gus meraih kemenangan ke 10 di WRC sepanjang kerjaya beliau setakat ini.

Dengan kejayaan ini membolehkan Elfyn Evans mendahului senarai pungutan mata (28 mata) setelah selesai dua daripada 14 perlumbaan bagi kalendar WRC 2025 ini.

Sementara itu, keputusan podium kedua juga dilihat sesuatu yang baik dan handal buat Takamoto Katsuta selepas kecewa di Rallye Monte-Carlo bulan lalu. Dan paling penting kemenangan 1- 2 di Rally Sweden ini membolehkan pasukan Toyota Gazoo Racing terus mengutip mata pendahulu bagi kategori Pengeluar setakat ini.

Manakala, penyandang juara WRC, Thierry Neuville tampak bekerja keras untuk memastikan podium ketiga menjadi milik beliau untuk mengenepikan saingan rakan sepasukan Hyundai Motorsport, Ott Tanak dengan perbezaan masa 4.9 saat sahaja.

Untuk Ott Tanak, keputusan ini dilihat agak mengecewakan setelah sempat mengalami masalah dengan enjin jentera Hyundai i20 N yang dipandu beliau dan masih berupaya mengejar rapat kedudukan Thierry Neuville.

Dan bekas juara WRC dua kali, Kalle Rovanpera meneruskan keputusan yang hampa, sama seperti di Monte-Carlo apabila hanya mampu berada di tempat kelima keseluruhan dan hanya mampu mencatatkan satu sahaja keputusan terpantas daripada 18 peringkat. Mungkinkah beliau telah kehilangan rentak untuk memecut laju? Martin Sesks yang kembali semula ke pentas WRC di Rally Sweden berjaya menempatkan di tempat keenam keseluruhan dengan memandu jentera Ford Puma Rally1 sekali gus menjadi wakil terbaik jentera tersebut.

Kedudukan Pungutan Mata Pemandu

  1. Elfyn Evans – 61 mata
  2. Sebastien Ogier – 33 mata
  3. Kalle Rovanpera – 31 mata

Kredit Foto : WRC

BACA : WRC 2025 – SEBASTIEN OGIER CEMERLANG DI TEMPAT SENDIRI RALLYE MONTE-CARLO

BACA : WRC 2025 PEMBUKA TIRAI DI RALLYE MONTE-CARLO. APA LAGI YANG BAHARU UNTUK MUSIM INI?

Google ads

B K

Back to top button