
TOYOTA PERKENALKAN SISTEM SEL BAHAN API GENERASI BAHARU – LEBIH CEKAP, LEBIH MURAH
Industri kenderaan elektrik semakin berkembang, namun beberapa pengeluar utama masih giat melabur dalam teknologi kenderaan sel bahan api hidrogen.
Toyota, sebagai salah satu penyokong terbesar teknologi ini, telah mendedahkan butiran awal mengenai sistem sel bahan api generasi ketiga mereka.
Sistem terbaru ini dijadualkan diperkenalkan secara rasmi di International Hydrogen & Fuel Cell Expo di Tokyo pada 19 Februari.
Toyota menjanjikan penambahbaikan ketara, termasuk pengurangan kos yang signifikan hasil inovasi dalam reka bentuk sel dan proses pembuatan.

Selain lebih berpatutan, sistem sel bahan api generasi ketiga Toyota juga dikatakan mempunyai daya tahan sehingga dua kali ganda lebih baik. Malah, Toyota mendakwa ketahanan sistem ini kini setanding dengan enjin diesel.
Kecekapan bahan api turut diberikan perhatian, dengan peningkatan jarak perjalanan sehingga 20 peratus. Sebagai perbandingan, model Mirai semasa mampu mencapai 647 km dengan sekali isian hidrogen.
Dengan harga hidrogen yang melonjak di beberapa pasaran seperti California, peningkatan kecekapan ini pasti menjadi kelebihan besar kepada pengguna.
Toyota menyatakan bahawa sistem sel bahan api baharu ini boleh dipasang pada pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta penumpang, kenderaan komersial, kapal, kereta api, serta penjana elektrik statik.
Teknologi ini dijangka mula diperkenalkan selepas tahun 2026 dan bakal ditawarkan di Amerika Utara, Eropah, China, serta Jepun.
Sejak pelancaran Toyota Mirai pada 2014, syarikat itu telah menjual kira-kira 28,000 unit di seluruh dunia. Selain digunakan dalam kenderaan penumpang, sistem sel bahan api Toyota juga digunakan dalam lebih 2,700 aplikasi lain termasuk bas serta penjana elektrik.
Dengan inovasi baharu ini, Toyota terus membuktikan komitmennya dalam membangunkan teknologi sel bahan api sebagai alternatif mampan bagi mobiliti masa hadapan.






