Buletin

WRC2 2024 – SAMI PAJARI MUNCUL JUARA MUSIM INI

Persaingan perebutan tahta bagi kategori kedua, FIA World Rally Championship (WRC) WRC2 juga berjaya menemui Juara baharu. Tahta WRC2 musim ini akhirnya sahih menjadi milik pemandu muda dari Finland, Sami Pajari setelah beliau berjaya menamatkan perlumbaan FORUM8 Rally Japan di podium kedua.

Sebelumnya, perebutan tahta WRC2 musim ini sememangnya menjadi bualan diantara kedua pemandu, Sami Pajari dan juga Oliver Solberg. Cuma walau pun sedikit mendahului dari segi pungutan mata, namun Oliver Solberg hanya boleh memerhati untuk perlumbaan terakhir ini memandangkan kuota perlumbaan untuk musim ini telah pun habis digunakan.

Kemenangan Sami Pajari bersama Juruarah Enni Mälkönen di Jepun ini dilihat cukup berjaya bukan sahaja berjaya memenangi tahta WRC2, malah mereka juga berjaya memenangi WRC2 Challenger dengan kemenangan di tempat kedua ini.

Malah sebelum hadir ke Jepun, Sami Pajari juga sudah mengetahui secara matematik, hanya podium kedua setidaknya sudah cukup untuk memastikan kejuaraan dalam tangan dan itulah yang mereka lakukan untuk menghabiskan perlumbaan di Jepun kali ini.

Kemenangan ini juga sebetulnya dilihat cukup manis untuk jenama Toyota memandangkan ini merupakan musim pertama jentera Toyota GR Yaris Rally2 membuat kemunculan di pentas WRC2 dengan Sami Pajari berjaya menonjolkan potensi yang ada pada jentera ini.

Nikolay Gryazin yang berasal dari Rusia tetapi memegang status lesen perlumbaan daripada Bulgaria pula berjaya menampilkan dominasi di FORUM8 Rally Japan kali ini sedari awal perlumbaan sehinggalah ke akhir perlumbaan untuk memenangi perlumbaan di tempat pertama. Beliau berjaya meninggalkan Sami Pajari dengan kelebihan 1 minit 46.5 saat.

Menarik untuk Nikolay Gryazin, beliau yang memandu jentera yang boleh dianggap lama, Citroen C3 Rally2 dengan menggunakan livery baharu, lain daripada warna merah seperti kelaziman. Jentera beliau telah menggunakan livery ala kereta penghantar tauhu yang cukup sinonim dalam animasi Initial D. Katanya, beliau menggunakan livery tersebut sebab minat sangat dengan animasi tersebut.

Melengkapkan podium terakhir adalah hero tuan rumah, Hiroki Arai yang memandu jentera Skoda Fabia Rally2.

BACA : WRC2 – NIKOLAY GRYAZIN MUNCUL SEBAGAI PEMENANG DI CENTRAL EUROPEAN RALLY

BACA : WRC2 2024 – SAMI PAJARI MENANG LAGI DI GREECE KALI INI

Google ads

B K

Back to top button