
YIN YI BANGKIT DOMINASI PUSINGAN 2 SKILLDRVN ONE MAKE RACE 2025
Musim ketiga SKILLDRVN One Make Race 2025 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang pada 19 April untuk Pusingan 2, kali ini menggunakan konfigurasi Litar Utara.
Sesi kelayakan berlangsung jam 2.30 petang manakala perlumbaan akhir diadakan pada jam 6.30 petang, mencetuskan suasana lebih sejuk dan lembap yang mencabar ketahanan pemandu serta ketepatan strategi.
Sorotan utama kali ini adalah kebangkitan semula #331 Yin Yi (YY), yang tampil cemerlang selepas menamatkan Pusingan 1 di tempat kelima.
YY menebus kesilapan dengan aksi dominan, bermula dari petak utama dan tidak melepaskan kedudukan tersebut hingga ke garisan penamat, walaupun terpaksa menangani kebocoran akibat retakan pada tangki minyak enjin.

“Saya benar-benar fokus kali ini. Banyak silap dalam pusingan lepas, jadi saya tahu saya tak boleh ulanginya lagi,” kata YY.
Menjelang Pusingan 3, YY akan membawa beban tambahan 15 kg namun tetap berazam untuk terus konsisten memburu mata kejuaraan.
Penampilan pertama musim ini buat #390 Vox Lim turut mencuri tumpuan apabila beliau berjaya menempatkan diri di tempat kedua. Keadaan trek yang lembap pada waktu malam nyata memberi kelebihan kepadanya.
“Saya puas hati dengan prestasi kali ini. Cuaca memang membantu, walaupun saya agak kecewa tak dapat kejar YY. Lepas masuk pit saya hilang fokus sikit sebab urus masa, tapi keseluruhannya strategi berjalan lancar,” katanya.
Vox sudah bersedia untuk menghadapi Pusingan 3 yang dijangka menyaksikan lebih ramai pencabar menyertai grid.
Pendahulu kejuaraan, Andy Boey (#328), menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Dengan beban kejayaan 15 kg hasil kemenangan dalam Pusingan 1, Andy sedikit bergelut dengan kelajuan di laluan lurus.
Namun, semangat juangnya jelas apabila beliau berjaya bangkit semula selepas tergelincir di Lap 3 akibat memotong di bahagian luar trek yang basah.
Dengan lebih ramai pelumba dijangka bertanding dan perlumbaan seterusnya berlangsung di litar penuh, perebutan kejuaraan semakin hangat.
Nantikan sambungan aksi menarik dalam SKILLDRVN One Make Race Musim 3!