Motosikal

ZXMOTO DAFTAR VTA 820RR-RS DI CHINA – DENGAN BREMBO GP4, 153.6HP

ZXMOTO telah pun memfailkan permohonan kelulusan jenis kenderaan (VTA) di Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China bagi model 820RR-RS, baru-baru ini. 

Menariknya, dokumen yang difailkan itu mendedahkan beberapa aspek penting mengenai 820RR-RS yang memaparkan perbezaan ketara dengan 820RR standard. 

Pertamanya, meskipun 820RR-RS menawarkan reka bentuk sama seperti 820RR namun versi RS dilengkapi dengan panel badan jenis gentian karbon. Tempat duduk belakang dan pemijak kaki pembonceng juga telah dibuang. 

*ZXMOTO 820RR-RS

Menariknya, ZXMOTO turut menawarkan ekzos Termignoni sebagai tawaran tambahan bagi 820RR-RS ini. 

Dalam pada itu, versi RS ini juga lebih berkuasa dengan 153.6hp berbanding 135hp ditawarkan versi standard. Jentera ini juga mampu merekodkan 0-100km/k dalam tempoh 2.6 saat sahaja. 

*ZXMOTO 820RR

Penggunaan komponen gentian karbon juga menyaksikan 820RR-RS ini lebih ringan dengan hanya 182kg (dengan tangki penuh) sekaligus 4kg lebih ringan dari varian standard. 

Dalam pada itu, ZXMOTO juga menggantikan fork KYB pada 820RR dengan fork Öhlins boleh laras pada 820RR-RS sementara pakej brek pula beralih kepada Brembo GP4. 

ZXMOTO dijangka akan melancarkan 820RR-RS ini secara rasmi di CIMA 2026 minggu hadapan. Sementara itu, ZXMOTO Malaysia akan melancarkan 820RR pada penghujung minggu ini. 

Google ads
Back to top button