Buletin

2/3 PEMANDU MAHU VAPE DIHARAMKAN – KAJIAN DI UK

Apa pendapat anda tentang vape? Bersetuju atau tidak? Buat penganut agama Islam, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 21 Disember 2015 telah memutuskan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Di United Kingdom satu kajian yang dibuat oleh Motorpoint mendapati lebih 70 peratus pemandu mahukan vape diharamkan di dalam kereta.

Kajian yang dibuat oleh syarikat penjualan kereta di UK di dalam laman web syarikat disertai oleh 350 orang dan 73 peratus daripadanya mahukan vape dikira sebagai kesalahan trafik.

Walaupun menghisap vape tidak menjadi kesalahan undang-undang trafik di UK, pemandu tetap mempunyai risiko didakwa di atas kesalahan tidak memberi perhatian semasa memegang vape dengan kemungkinan didenda sehingga GBP£2,500 (RM12,649) dan markah penalti serta risiko diharamkan daripada memandu.

Satu lagi perkara menarik mengenai undang-undang trafik di UK ialah merokok tidak menjadi kesalahan namun sejak bulan Oktober 2015, perbuatan tersebut menjadi kesalahan apabila membawa penumpang di bawah usia 18 tahun.

Jumlah responden di dalam kajian ini sebenarnya tidak signifikan namun apa yang diutarakan relevan di dalam situasi pemanduan hari ini. Hujah yang dibawa iaitu pemandu sepatutnya menumpukan perhatian kepada jalan raya tanpa sebarang gangguan mempunyai asas yang baik.

Photo by rawpixel.com from Pexels

Satu perkara lagi, undang-undang yang tidak membenarkan pemandu merokok apabila membawa penumpang di bawah usia 18 tahun juga boleh diaplikasikan di negara kita.

Seperti yang kerap dihebohkan sebelum ini, asap rokok turut mempunyai risiko kesihatan kepada mereka yang berhampiran dan itu adalah asas mengapa rokok diharamkan di tempat awam di negara kita.

Buat penganut agama Islam pula, keputusan fatwa seperti yang dinyatakan di atas wajar diberi perhatian selayaknya.

BACA: MENUNGGANG MOTOSIKAL BOLEH KURANGKAN TEKANAN – KAJIAN

BACA: 86 PERATUS PEMBELI SILAP PILIH WARNA KERETA – KAJIAN NISSAN DI EROPAH

BACA: LONG LIVE SEDAN! ORANG MUDA SUKA KERETA SEDAN – KAJIAN DI AS

Google ads
Back to top button