Buletin

MERCEDES EQS 500 4MATIC 2023. CKD PEKAN, RM50K LEBIH MURAH, SPECS MAKIN PADU

Selepas pelancaran model sedan elektrik EQS pada pertengahan tahun lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini mengumumkan pemasangan tempatan (CKD) EQS 500 4MATIC di kilangnya di Pekan, Pahang. 

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

“Mercedes-Benz telah mencatat satu lagi pencapaian dengan menghasilkan EQS 500 4MATIC pemasangan tempatan yang pertama.

“Ini sememangnya akan menyokong strategi perniagaan kami dalam menawarkan rangkaian model EQ yang komprehensif kepada para pelanggan, seterusnya menyumbang ke atas peralihan EV yang lebih tinggi di Malaysia. 

“Kami akan terus mencipta ekosistem mobiliti elektrik, bukan sahaja menerusi produk, tetapi turut melibatkan perkhidmatan, teknologi dan inovasi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Sagree Sardien. 

EQS ialah sedan elektrik mewah pertama daripada rangkaian model Mercedes-EQ yang dibina di atas seni bina modular. Ia menggabungkan aspek kemewahan, teknologi, reka bentuk, fungsi dan ketersaambungan.  

EQS 500 4MATIC menjadi saloon mewah pertama dipasang di Malaysia. Hadir dalam satu varian sahaja, spesifikasi ringkas jentera itu adalah seperti berikut:

Untuk makluman, EQS 450+ yang ditawarkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) sebelum ini berharga RM698,888 seunit. Senang cakap, model baharu ini hadir dengan spesifikasi lebih tinggi pada harga RM50,000 lebih murah.

Perbezaan utama di antara model CKD dan CBU ialah jentera keluaran kilang Pekan itu dilengkapi sistem suspensi dengan peredam adaptif 4MATIC untuk memberikan kualiti pengendalian lebih mantap. 

Bukan itu sahaja, EQS 500 4MATIC kini menggunakan dua motor elektrik yang mampu menjana kuasa sehingga 330kW untuk prestasi terbaik. 

EQS 500 4MATIC juga hadir dengan rekaan luaran dikenali sebagai Electric Art line yang merangkumi kemasan krom dan rim aloi ringan lima jejari baharu bersaiz 20 inci. Dengan pekali seretan hanya 0.20 menjadikannnya sebagai sebuah kereta produksi paling aerodinamik di dunia. 

Ia turut dipasang dengan gril radiator bersama corak ikonik Mercedes-Benz dan sunroof panoramik bagi membuatkan ruang kabin terasa lebih luas. Tidak ketinggalan, sedan mewah itu hadir dengan lampu utama DIGITAL LIGHT yang canggih.

Ruang kabin yang menggunakan bahasa rekaan Electric Art line tampil mewah dengan material dan hasil pertukangan berkualiti tinggi. Ini dapat dilihat menerusi kemasan pada papan pemuka, panel pintu, tempat duduk, balutan kulit nappa pada stereng, trim kayu dan sebagainya.

Dari segi keselamatan, EQS 500 4MATIC dilengkapi Driving Assistance Plus Package yang merangkumi ciri Re-start automatik semasa kesesakan jalan raya, Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, sokongan menukar haluan,  PRE-SAFE, sensor belakang dan banyak lagi. 

Ciri URBAN GUARD pula memberi ketenangan minda apabila kerea diparkir. Sistem itu terdiri daripada penggera anti-kecurian dan sistem pemantauan yang boleh diakses menerusi aplikasi Mercedes me. 

EQS 500 4MATIC juga dipasang dengan kamera 360 darjah Active Parking Assist yang menawarkan sudut pandangan jelas kepada pemandu ketika hendak memarkir kereta. MBUX Hyperscreen pula menjadi ciri standard pada sedan ini. 

Jika berminat, penyerahan pertama sedan EV mewah ini dijadual bermula pertengahan Mac depan.

Google ads
Back to top button