Pandu Uji

MAZDA CX-9 IGNITE EDITION, SUV 7 TEMPAT DUDUK TERBAIK DARI JEPUN

Apa sebenarnya perbezaan antara Mazda CX-8 dan Mazda CX-9 yang kedua-duanya telah dipandu uji oleh penulis? Kedua-dua SUV ini berupaya memuatkan 3 barisan tempat duduk yang selesa direka dengan jarak antara roda mencecah 2930mm.

Mazda CX-8 ada dihasilkan di Malaysia secara CKD dan juga dibuat di Jepun. Tapi untuk pasaran Malaysia ia dihasilkan di Kulim menjadikannya lebih mampu milik. Bagi Mazda CX-9, ia hanya dihasilkan di fasiliti Mazda Hiroshima Jepun menjadikan harga jualannya mencecah RM 327,000.

Ironinya Mazda CX-9 tidak dijual di Jepun disebabkan saiznya yang gergasi iaitu panjangnya mencecah 5075mm manakala lebarnya mencecah 1969mm. Jika dijual di Jepun, harganya akan menjadi mahal disebabkan saiz ini akan dikenakan cukai yang tinggi. Maka Mazda CX-9 dijual di Australia, Amerika dan Asia Tenggara sebagai alternatif kepada Mazda CX-8.

Dari segi sejarah, Mazda CX-9 dihasilkan buat pertama kali pada tahun 2006 manakala generasi kedua mulai dijual pada tahun 2016. Ya selama 10 tahun itulah jangka hayat produk Mazda kerana tidak seperti pesaingnya yang lain Mazda sebenarnya sebuah syarikat yang kecil sahaja.

Ia memerlukan masa yang lebih panjang bagi memastikan model ini memberikan pulangan yang lebih baik kepada Mazda. Tapi kesannya rekaan Kodo yang digunapakai selama 10 tahun oleh Mazda menjadi cepat bosan dan kaku

Dalam keadaan yang original, rekaan Kodo memang lawa tapi pada masa yang sama ia agak rigid dan sukar untuk dikahwinkan dengan komponen aftermarket yang lain. Jika sport rim asal diganti, spoiler belakang ditambah dan skirting sisi dimasukkan maka rekaan Kodo akan nampak pelik dan tak kena.

Untuk memastikan rekaan Kodo pada CX-9 kekal segar, maka Mazda memperkenalkan Ignite Edition yang lebih sporti dan bergaya. Sebagai contoh, Mazda hanya mengusik dan meletakkan beberapa warna kemasan hitam bagi memastikan rekaan ini lebih bergaya.

Lampu depan LED diberikan warna hitam gelap di bahagian perumah lampu dan juga jeriji melintang. Cermin sisi dan sport rim bersaiz 20 inci diberikan kemasan hitam berkilat. Apabila digabungkan dengan warna Soul Red dan hitam berkilat, CX-9 ini nampak lebih segak. Kadang kala nampak seperti kereta rasmi digunakan oleh geng Yakuza

Khidmat enjin 4 silinder 2500cc turbo yang menjana 228 kuasa kuda dan 420Nm tork seawal 2000 RPM masih lagi dikekalkan. Semua kuasa akan dihantar ke roda depan menerusi transmisi 6 kelajuan automatik. Sistem Start-Stop juga diberikan untuk penjimatan bahan api yang bagus di dalam bandar

Untuk bahagian belakang, rekaan lama masih dikekalkan bersama dengan powered tailgate. Berbeza dengan CX-8, Mazda CX-9 sebenarnya menawarkan ruang kargo yang lebih besar. Jika semua 7 tempat duduk digunakan, CX-9 masih lagi menawarkan sekitar 230 liter ruang kargo.

Jika kusyen barisan belakang dilipat, ruang kargo belakang akan menjadi 810 liter. Untuk perjalanan jarak jauh, anda boleh buat sedikit penambahan ruang kargo belakang dengan membuka semua pelapik ruang kargo. Gunakan saja beg galas kain, pastinya ruang yang ditawarkan sudah cukup untuk 7 penumpang menyimpan bag bagi perjalanan 2 hingga 3 hari

Pada pendapat penulis, ruang dalam Mazda CX-9 sebenarnya menerima pembaharuann yang cukup bagus bagi menjadikan SUV ini kekal moden. Unit multimedia kini menerima ciri sambungan Apple Car Play tanpa wayar dan juga Android Auto dengan wayar.

Sistem bunyi dengan 12 pembesar suara daripada jenama Bose masih lagi dikekalkan untuk kualiti bunyi yang boleh tahan sedapnya. Berbeza dengan generasi sebelumnya, unit gear automatik 6 kelajuan menerima unit paddle shift di belakang stering untuk kawalan gear yang lebih jitu ketika memandu terutama di selekoh

Tapi perubahan yang terbesar ialah balutan kusyen dinaiktaraf dengan Burgundy Leather yang berwarna sedikit merah cerah, satu pilihan warna yang berani untuk sebuah SUV eksekutif. Ditambah pula dengan sunroof untuk barisan tempat duduk pertama, anda bagaikan memandu sebuah kerata sport untuk orang muda

Berikut ialah pengalaman pemanduan penulis berkenaan dengan kualiti pemanduan Mazda Cx-9 Ignite Edition:

1. Pecutan yang ditawarkan daripada enjin yang menjana 228 kuasa kuda dan 420Nm tork boleh menyebabkan anda lupa diri, lupa kewujudan sistem AES dan juga formula petrol yang tidak kunjung tiba. Namun kuasa akan dihantar secara tertib bagaikan anda memandu sebuah jentera 3000cc V6, cukup lancar dan bertenaga walaupun anda membawa 6 penumpang serta muatan penuh

Penulis rasakan cengkaman yang ditawarkan oleh tayar Bridgestone Ecopia memang tidak cukup kuat untuk menangani tork buas yang dijana oleh CX-9. Sebaiknya SUV ini perlu dipasang dengan tayar berprestasi tinggi.

Pada halaju lebuhraya atau melebihi 120km/jam, bunyi angin dan tayar yang menerjah masuk dalam ruang kabin juga adalah sangat minima. Penulis masih boleh berbual dengan penumpang yang berada di barisan ke 3 secara normal.

2. Walapun beratnya hampir mencecah 2000kg, penggunaan bahan api cukup memuaskan. Jika dipandu secara tertib pada halaju lebuh raya, ia akan menawarkan penjimatan sehingga 13.6km bagi setiap liter petrol. Dengan purata halaju antara 120-140km/jam, penulis masih mendapat 10.5km bagi setiap liter petrol bagi perjalanan jarak jauh

3. Dengan falsafah Jinba Ittai, memandu CX-9 langsung tidak seperti terasa anda memandu sebuah kereta yang besar dan berat. Tiada understeer, tiada oversteer dan anda boleh memandu masuk ke selekoh dengan laju tapi mungkin penumpang barisan ke 3 tidak suka jika anda memandu secara agresif.

Jika dipandu secara normal, anda akan menghargai usaha jurutera Mazda memastikan pemanduan anda terasa sangat selesa dengan teknologi G-Vectoring yang akan meminimakan masalah body roll ketika mengambil selekoh. Cuba anda pandu SUV besar yang lain dan anda akan faham maksud penulis

4. Kawalan gear dimudahkan dengan ciri paddle shift dipasang di belakang roda stering, memudahkan anda menurunkan 2 gear sebelum memasuki selekoh bagi memindahkan berat ke tayar depan untuk cengakaman jalan yang lebih bagus

5. Oh ya, CX-9 juga dipasang dengan semua teknologi keselamatan terkini yang dipakejkan dalam Mazda i-Activesense. Ia dipasang dengan teknologi lampu depan LED adaptif, sistem amaran titik buta, sistem amaran trafik lintasan belakang, Driver Attention Alert, amaran pra-perlanggaran, dan brek pra-perlanggaran arah depan dan juga belakang.

Apa yang bagus berkenaan dengan sistem Mazda i-Activesense ini ialah sistem ini akan diintegrasikan dalam Head Up Display. Sebagai contoh amaran brek pra-perlanggaran, amaran titik buta dan lintasan belakang akan dimasukkan terus dalam unit Head Up Display bagi membuatkan kita lebih berjaga-jaga

Pujian juga harus diberikan pada sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC) yang menawarkan kawalan jarak dengan kenderaan yang berada di depan dengan baik sekali. Jika ia mengesan kenderaan lain di depan, input brek akan diberikan secara lembut bukannya menerjah masuk dengan mengejut.

6. Untuk perkara yang kurang disukai oleh penulis, sudah semestinya aspek kualiti kamera 360 darjah yang agak kabur jika dibandingkan dengan pesaing lain dari jenama Conti dan juga Korea. Tapi ia adalah masalah umum bagi semua kenderaan dari jenama Jepun secara amnya

Mungkin ada pembaca yang berpendapat, harga RM 327,000 yang dipinta ini nampak seperti terlalu mahal. Tapi sebenarnya Mazda CX-9 bukanlah SUV biasa sebaliknya ia adalah SUV bersaiz besar dalam segmen D yang menawarkan 7 tempat duduk.

Sebagai perbandingan Hyundai Palisade ditawarkan dengan harga RM 348,000 manakala Volvo XC-90 pula ditawarkan dengan harga permulaan RM 383,000 menjadikan CX-9 adalah pilihan yang lebih menarik pada harga RM 327,000 bagi varian pacuan 2 roda atau RM 336,000 bagi versi pacuan semua roda

Google ads
Back to top button