
5 KERETA MODEN YANG MENGGUNAKAN ENJIN 2 SILINDER.
Jika anda mengerutkan dahi bila mendengar kereta dengan enjin 3 silinder, anda tidak sepatutnya membaca artikel ini. Sila petik artikel lain di laman web Mekanika dan abaikan artikel ini. Jika anda nak baca juga, silakan tapi jangan banyak komen ya.
Kebanyakan kereta moden banyak menggunakan enjin 3 silinder dalam usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, menjadi lebih efisyen, dan menawarkan ruang enjin yang lebih besar bagi naiktaraf kepada sistem hibrid. Malah kebanyakan model kompak di negara kita ditawarkan dalam pilihan enjin 3 silinder seperti Axia, Viva, Kancil dan Kelisa
Walaupun enjin 3 silinder ini kurang berkuasa terutama bagi enjin talaan Normal Aspirated, ia bukannya masalah kerana enjin ini memang cekap tenaga. Ada juga enjin 3 silinder yang berkuasa dan dipasang dengan turbo bagi menawarkan kuasa yang lebih baik.
Tapi tahukah anda bahawa ada juga kereta moden yang ditawarkan dengan enjin 2 silinder, samaada petrol normal aspirated, petrol turbo dan juga turbodiesel. Antaranya ialah:

1. Alfa Romeo Mito 2014 – model ini dihasilkan dalam satu generasi dari tahun 2008 sehingga 2018 dalam beberapa varian. Ia merupakan kereta kompak mini 3 pintu yang agak popular dengan enjin terkecil yang ditawarkan ialah 900cc sahaja dengan 2 pilihan samaada NA atau turbo.
Versi Normal Aspirated 2 silinder menggunakan sesaran 964cc menghasilkan sekitar 59 kuasa kuda dan 88Nm tork. Bagi varian turbo, ia menggunakan sesaran 875cc yang menghasilkan 103 kuasa kuda dan 145Nm tork.
Enjin ini mendapat anugerah International Engine of The Year Awards 2011 bagi kategori Under 1 Liter, Best New Engine dan Best Green Engine. Nah 3 anugerah dia sapu sekali.

2. Volkswagen XL1 2014 – hanya 250 unit sahaja dihasilkan oleh Volkswagen dan merupakan sebuah kereta sport 2 pintu dengan kerangka badan dihasilkan daripada Carbon Fiber Reinforced Polymer. Ini menjadikan berat XL1 hanyalah 795kg sahaja termasuklah kompenen butterfly door
Volkswagen XL1 dikuasakan dengan enjin turbo diesel 2 silinder 800cc yang menghasilkan 47 kuasa kuda. Enjin ini dibantu dengan sistem hibrid plug in yang dipadankan dengan bateri lithium-ion sebesar 5.5kWh dan juga motor elektrik 27 kuasa kuda. Kombinasi sistem menghasilkan 68 kuasa kuda dan 140Nm tork
Enjin kereta ini dipasang di bahagian belakang pemandu dengan semua kuasa dihantar ke tayar belakang menerusi transmisi 7 kelajuan DSG. Pecutan 0-100km/h dibuat dalam masa 14.3 saat dan halaju maksimanya ialah 158km/j. Ia menggunakan 0.9 liter diesel bagi setiap 100km

3. Suzuki Celerio Diesel 2015 -telah dijual dalam 3 generasi bagi pasaran negara membangun dengan tawaran enjin petrol 3 silinder atau enjin diesel 2 silinder. Bagi varian diesel, ia dihasilkan oleh Maruti Suzuki bagi pasaran negara India dengan enjin 2 silinder turbodiesel 793cc yang menghasilkan 47.6 kuasa kuda dan 125Nm tork
Penggunaan bahan api ialah sekitar 27.62 kilometer per liter, sangat bagus bagi kereta kompak tapi pecutan 0-100km/jam mengambil masa melebihi 15 saat. Tapi halaju maksima dia boleh tahan, sekitar 150km/jam

4. Fiat 500 Sport 2020 – menggunakan enjin yang sama dengan Alfa Romeo Mito iaitu enjin TwinAir Turbo 875cc petrol yang menghasilkan 104 kuasa kuda dan 145Nm tork dengan hanya menggunakan enjin 2 silinder sahaja. Semua Fiat 500 Sport ditawarkan dalam varian manual sahaja.
Walaupun tidaklah berkuasa seperti varian Abarth, tapi ia masih mampu memecut 0-100 dalam masa 9 saat dan halaju maksima dihadkan pada 130km/jam. Penggunaan petrol pula secara purata ialah sekitar 23km per liter

5. BMW i3 – merupakan kereta kompak segmen B yang dihasilkan oleh BMW melalui sub jenama i khusus untuk kereta berkuasa elektrik di bawah BMW. i3 dihasilkan dengan kerangka Carbon Fibre Reinforce Polymer yang ringan, motor elektrik 167 kuasa kuda dan 3 pilihan bateri.
Bateri ion lithium yang ditawarkan dari saiz 18.2 kWh, 27.2 kWh dan 37.9 kWh. Semua bateri ini tak menjadi masalah melainkan pemandu cuba memandu lebih jauh daripada yang sepatutnya. Jadi BMW menghasilkan versi range extender bagi memanjangkan jarak perjalanan.
Versi ini akan memuatkan satu enjin 2 silinder 647cc yang menghasilkan 33 kuasa kuda, beroperasi dalam satu putaran RPM sahaja khusus untuk mengecaj bateri EV. Ia berupaya memanjangkan jarak perjalanan i3, sebagai contoh varian 37.9 kWh berupaya dipandu sejauh 203km dalam mode EV.
Dengan enjin generator ini, ia boleh dipandu sejauh 322km sebelum perlu dicaj semula. BMW i3 boleh memecut 0-100km/jam dalam masa 7.3 saat dan halaju maksima dihadkan kepada 150km/jam.
Ada banyak lagi model-model kereta lama yang menggunakan enjin 2 silinder, tapi artikel kali ini kami khususkan pada kereta moden dan terkini. Contoh terbaik adalah BMW i3 tadi dimana enjin 2 silinder tadi bukan disambungkan pada tayar, tapi digunakan khusus sebagai generator.



