Buletin

AIRASIA X RUGI RM24.63 BILION

AirAsia X Bhd, mencatatkan kerugian bersih RM24.63 bilion bagi suku tahun 1 April hingga 30 Jun 2021 berikutan peruntukan jumlah yang perlu dibayar kepada pemiutang.

Syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia yang sedang dalam proses penstrukturan semula hutangnya memperuntukkan RM23.7 bilion, jumlah yang perlu dibayar kepada pemiutang iaitu hutang tertunggak di bawah terma kontrak.

“Perlu ditekankan adalah liabiliti kontraktual yang mana peruntukan yang dibuat akan diketepikan sebaik cadangan penyusunan semula hutang yang dicadangkan berjaya,” kata AAX dalam satu kenyataan.

AirAsia X sedang menstruktur semula hutang berjumlah RM63.5 bilion kepada pemiutang tidak bercagar menjadi perakuan hutang oleh syarikat penerbangan itu dengan jumlah pokok sehingga RM200 juta.

Syarikat itu telah menerima tempoh lanjutan sehingga Mac tahun depan bagi menahan perintah 15 pemiutangnya terhadap penyusunan semula dan bagi mengadakan perbincangan, dengan perintah itu perlu dilaporkan semula kepada Mahkamah Tinggi berkaitan kemajuannya pada pertengahan Disember ini.

“Syarikat terus mencatatkan kemajuan dalam perbincangan dengan pemiutang dan berharap untuk mengadakan perbincangan menjelang akhir bulan depan,” katanya.

Tanpa peruntukan kepada pemiutang, AirAsia X meraih kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) berjumlah RM58.16 juta, manakala pendapatannya pula berjumlah RM72.26 juta. – BH

Google ads
Back to top button