Buletin

MEMOTONG DI GARISAN BERKEMBAR, POLIS SIASAT ALPHARD HITAM

Polis mengesahkan ada menerima laporan berkaitan video tular di Facebook (FB) yang memaparkan sebuah kenderaan dipercayai milik seorang timbalan menteri melanggar peraturan jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Superintendan Suhaimi Jusoh berkata, video tular yang berdurasi 38 saat itu menunjukkan rakaman kenderaan jenis Toyota Alphard warna hitam memotong kenderaan di garisan berkembar.

Menurutnya, seorang pengguna Facebook memuat naik video dengan tajuk ‘P45.. Macam pernah tengok.. Nak terkencing barangkali, sampai Double Line pun potong..’.

“Berdasarkan video berkenaan, didapati pemandu kenderaan bertindak memotong beberapa kenderaan lain di garisan berkembar secara merbahaya dan terdapat kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan, kejadian berkenaan berlaku di laluan Bukit Marak-Binjai, berdekatan sebuah jambatan di lampu isyarat Chabang Tiga, Gong Dermin di sini.

“Pihak polis akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suhaimi turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan. Ini bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini terutama membabitkan kehilangan nyawa. – Harian Metro

Google ads
Back to top button