LOTUS CUMA JUAL 576 KERETA TAHUN LEPAS – 200 PEKERJA MUNGKIN TERPAKSA DIBERHENTIKAN
Sukar untung terus kekal dalam dunia perniagaan jika asyik mengalami kerugian. Langkah yang sukar kadang-kala harus diambil demi kelangsungan perniagaan. Itulah nasib yang menimpa Lotus bila cuma berhasil menjual 576 unit kereta sahaja pada tahun 2022.
Selepas menamatkan pengeluaran Elise, Exige dan Evora pada tahun 2021, Lotus hanya mengeluarkan satu model sahaja, Emira. Model elektrik mereka, Eletre hanya mula diproduksikan awal tahun ini manakala sedan terbaru yang dikatakan bakal menyaingi Porsche Taycan hanya akan mula sampai ke tangan pelanggan tahun 2024.
Jumlah jualan Lotus tahun lepas jauh menurun berbanding tahun sebelumnya sebanyak 1,566. Ini bermakna mereka sudah mengalami kerugian dua tahun berturut-turut. Kerugian £86.6 juta pada atau tahun 2021 dan meningkat kepada £145.1 juta tahun 2022.
Kini dalam langkah menjimatkan kos, Lotus dikatakan menimbang untuk mengurangkan pekerja sehingga 200 orang. Aduh kesian betul.
Ia melibatkan operasi Lotus di UK khusus fasiliti mereka di Hethel dan Warwickshire. Sasaran pemberhentian ialah mereka yang terlibat dalam bahagian pengurusan dan kejuruteraan dan tidak melibatkan bahagian pembuatan kereta.
Lotus dikatakan sedang meningkatkan angka pengeluaran mereka tahun ini khususnya Emira yang merupakan model ICE terakhir mereka begitu juga dengan Eletre SUV.
Hypercar elektrik mereka, Evija masih belum memulakan serahan dan agak mengejutkan kerana masih ada unit yang belum terjual walaupun ia mula dilancarkan empat tahun lalu. Eh, orang-orang kaya ni tak minat Lotus ke? Kami sebut orang-orang kaya tu bukan merujuk kepada tokey kosmetik timbang kati okey.
Lotus juga sedang dalam usaha mengeluarkan kereta sports elektrik baharu bergandingan dengan Alpine. Tapi sayangnya pakatan tersebut sudah berpecah tapi ia masih diteruskan oleh Lotus dan dijangka mula dipasarkan sekitar 2026. Lambat lagi tu.
Persaingan akan bertambah menarik kerana Porsche dikatakan akan memperkenalkan pengganti 718 pada tahun 2025 dan menggunakan kuasa elektrik.