Buletin

AIRASIA BAKAL LANCAR PERKHIDMATAN E-HAILING

AirAsia Bhd menerusi super app miliknya akan meneroka perkhidmatan e-hailing, sekali gus menuju ke arah melengkapkan ekosistem perniagaan bukan penerbangan bersepadu di Malaysia.

Rancangan penyertaan airasia super app dalam perkhidmatan e-hailing dilihat tepat pada masanya bagi meningkatkan akses pengguna kepada perkhidmatan sedemikian yang melonjak sejak sebelum Covid-19 melanda negara.

Berdasarkan komitmen yang diberikan menerusi 15 produk yang terdapat di bawah super app dengan tawaran harga dan komisen lebih rendah kepada pengguna serta peniaga, AirAsia melalui e-hailing mampu menawarkan tambang lebih kompetitif yang memberi manfaat kepada pelanggan.

Ketua e-dagang bagi airasia super app, Lim Ben-Jie, berkata struktur perkhidmatan e-hailing yang bakal diterokai oleh AirAsia sedang diperkemaskan sebelum dilancarkan tidak lama lagi.

“AirAsia memiliki ekosistem lengkap yang membolehkan kami memperkenalkan pelbagai perkhidmatan tambah nilai kepada pengguna. Ya, kami akan memperkenalkan perkhidmatan e-hailing tidak lama lagi.

“Struktur perkhidmatan (e-hailing) akan diumumkan pihak pengurusan tertinggi AirAsia kelak. Apa yang pasti, perkhidmatan terbaru dalam pengangkutan darat ini akan menjadi pendorong bagi melengkapkan super app,” katanya. – BH.

Google ads
Back to top button