Buletin

ALKISAH HYUNDAI MATRIX YANG TIDAK BERPENGGANTI SEHINGGA KINI

Sekitar era tahun 2000an, terdapat sebuah mini MPV keluaran daripada Hyundai yang boleh tahan popular dan menjadi pilihan pengguna, Hyundai Matrix. Pastinya ramai dikalangan pembaca Mekanika juga adalah pengguna model yang kelihatan menarik (agaknya) suatu ketika dahulu.

Untuk rekod, model mini MPV ini sebenarnya tergolong dalam kategori kenderaan dengan reka bentuk yang unik. Tengok dari hadapan, nampak macam sebuah MPV sebenar tapi melihatkan ke bahagian belakang entah kenapa kontot pula bahagian belakangnya. Oh ya, sebelum sebarang kritikan dilemparkan, tahukah anda bahawa bahagian luaran Hyundai Matrix ini sebenarnya telah direka oleh Pininfarina, sebuah firma rekaan kenderaan yang tersohor dari Itali.

Model yang turut dikenali dengan nama Hyundai Lavita untuk pasaran domestik Korea dan sesetengah pasaran ini mula dikeluarkan bermula tahun 2001 sehinggalah ke tahun 2010 tamat produksinya.

Walau pun mempunyai rekaan luaran yang cukup unik, akan tetapi ianya mempunyai fungsi yang cukup praktikal tidak dimiliki oleh tipikal kenderaan biasa. Mungkin ianya dikhususkan untuk mereka yang mahukan sebuah kenderaan yang cukup praktikal dari segi ruang dengan hanya kapasiti lima penumpang sudah memadai tetapi tidak mahukan sebuah kenderaan yang besar dan panjang.

Barangkali peminat juga adalah terdiri daripada model hatchback. Maka tidak hairanlah bahagian belakangnya ada sedikit menyerupai sebuah model hatchback tetapi tampil dengan rekaan bumbung yang meninggi untuk memberikan sedikit variasi terhadap model mini MPV ini.

Hyundai Matrix juga dijual di pasaran Malaysia dan turut menerima sambutan yang agak baik. Menarik juga apabila model ini juga sempat dinaturalisasikan dengan nama dalam geran Inokom Matrix yang dijanakan melalui enjin 1.6 liter dan juga 1.8 liter

Tahukah anda bahawa Hyundai Matrix ini sebetulnya boleh tahan popular juga. Selain daripada mempunyai kilang pemasangan di Ulsan Korea, model ini turut dikeluarkan melalui kilang pemasangan secara tempatan di Izmit Turki, Cairo Mesir, Athens Greece dan tidak lupa juga kilang pemasangan Inokom di Kulim Kedah.

Namun sayang apabila model Matrix ini hanya sempat satu generasi sahaja apabila Hyundai memutuskan untuk memperkenalkan pula model Hyundai ix20 pada tahun 2010.

BACA : HYUNDAI i20 N LINE BAHARU – HATCHBACK KELUARGA YANG SEDAP DENGAN DNA RALI

BACA : PARODI PANDU UJI KERETA RALI “HYUNDAI R5, TOYOTA YARIS WRC & TOYOTA GR YARIS RALLY1”

Google ads

B K

Back to top button