
TOYOTA TIBA-TIBA BUAT EV DI CHINA. MACAM PELIK JE
Awal bulan Mac 2025, Toyota membuat kejutan dengan melancarkan sebuah lagi model SUV elektrik sepenuhnya yang lebih kecil sedikit berbanding dengan nama bZ4x khusus bagi pasaran China
Dengan nama bZ3x, penulis rasanya pernah melihat model prototaip SUV tersebut dipamerkan di Beijing Motorshow 2024 pada tahun lepas. Pada ketika itu, penulis beranggapan Toyota hanya “bermain” dengan kereta konsep elektrik bagi menarik pehatian pengunjung ketika pameran motorshow
Masakan tidak, Beijing Autoshow dengan 16 unit dewan pameran telah diterjemahkan pada angka jualan yang luar biasa pada tahun 2024 dengan jualan mencecah 31.436 juta unit kenderaan terjual di China. Angka ini sekaligus mengangkat China sebagai kuasa automotif dunia
Namun jika diteliti dengan baik, tak semua jenama automotif di China menikmati limpahan jualan kenderaan di China pada tahun lepas. Sebagai contoh jenama Nissan yang satu ketika dulu popular di China kini menjadi semakin malap
Pada tahun 2021, di sebalik kekalutan COVID-19 Nissan berjaya menjual sebanyak 1.4 juta unit kenderaan di China sahaja sekaligus menjadikan China sebagai salah satu pasaran penting pada Nissan selain Amerika. Namun kesilapan Nissan adalah mereka lambat bertindak pada permintaan pasaran yang semakin dinamik
Nissan gagal menghasilkan kereta elektrik secepat mungkin bagi memenuhi permintaan pasaran China dan pada masa yang sama Nissan juga gagal menawarkan barisan kenderaan dengan trenkuasa hibrid yang cukup untuk memenuhi selera pengguna China
Akibatnya jualan jenama China merosot dengan teruk, sehinggakan pada tahun 2024 Nissan hanya mampu menjual 690,000 unit kenderaan di China sekaligus menyebabkan Nissan mengalami masalah kewangan yang teruk disebabkan pasaran China adalah “cash cow” bagi Nissan
Pegangan pasaran jenama Nissan merosot sebanyak 50% sehinggakan Nissan terpaksa menutup beberapa kilang dan mengambil inisiatif yang luar biasa bagi menyelamatkan syarikat termasuklah menjadi subsidiari kepada Honda
Apa yang telah terjadi pada Nissan dipelajari oleh Toyota melalui satu proses “yokoten”, sekiranya Nissan boleh bungkus di China maka perkara sama boleh berlaku kepada jenama Toyota. Data menunjukkan pegangan pasaran Toyota merosot sebanyak 6.9% di China pada tahun 2024 berbanding dengan tahun 2023
Jadi walaupun Toyota menegaskan program elektrifikasi kenderaan bukanlah keutamaan mereka buat masa ini, malah Toyota sibuk membangunkan enjin baru di Jepun tetapi untuk terus kekal berjaya dan relevan di pasaran China sifir kereta elektrik perlu digunakan
Jadi Toyota telah bekerjasama dengan pemain industri automotif tempatan yang telah lama menjadi rakan iaitu GAC Toyota Motor, sebuah entiti yang diwujudkan melalui usahasama Toyota dan GAC semenjak dari tahun 2004 lagi
Jadi daripada menghabiskan masa, usaha, duit dan pelaburan yang banyak dalam kereta elektrik, Toyota hanya menggunakan platform GAC Aion Architecture Electric Platform (AEP) 3.0 bagi membangunkan kereta elektrik dengan logo Toyota di China
Pendekatan ini adalah jauh berbeza dengan model Toyota bZ4x yang menggunakan e-TNGA dan turut dijual sebagai GAC Toyota bZ4x. Malah model ini juga menggunakan bateri Lithium Ferrous Phosphate bagi mengurangkan kos pembuatan dan menjual model ini semurah mungkin iaitu pada harga permulaan 15,100 USD (RM 67,000)
Pendekatan sebegini lebih menjimatkan kos pemabangunan, merendahkan risiko pelaburan dan jauh lebih bijak. Malah selepas sejam model ini dipasarkan di China, GAC Toyota telah menerima 10,000 tempahan dalam masa sejam sehinggakan sistem pelayan komputer mereka “crash”.
Ia bukanlah kali pertama Toyota bertindak melakukan usahasama dalam membangunkan model baru. Sejarah menyaksikan Toyota menghasilkan GR Supra dengan kerjasama BMW, GR86 dengan kerjasama Subaru dan untuk pasaran Malaysia Toyota Vios dihasilkan dengan kerjasama Daihatsu