Buletin

AMERICAN CHOPPER KEMBALI BERSIARAN

Setelah 5 tahun, siri realiti paling popular saluran Discovery kembali dengan musim baru. Anda akan berpeluang melihat kembali keluarga Teutul yang popular bukan sahaja tentang rekaan motosikal rekaan khas bahkan konflik kekeluargaan.

Mereka jugalah yang membina motosikal 1 Malaysia dan perlancarannya di Malaysia telah muncul sebagai salah satu episod American Chopper.

Mungkin pihak Discovery sudah penat mencari rancangan yang boleh menaikkan rating mereka selepas tamatnya siri ini. Mahu tak mahu idea lama juga yang dikorek semula. Jadi mereka merujuk kembali rancangan American Chopper dan akan bersiaran tak lama lagi.

Sejak 2002, siri ini telah bersiaran hingga lebih 200 episod yang memaparkan bagaimana Paul Teutul Sr dan anaknya Jr membina motosikal di garaj rumah hinggalah menjadi empayar motosikal terkemuka Orange County Chopper (OCC) di wilayah Orange County, New York.

Mereka bukan sahaja menerima tempahan dari selebriti-selebriti terkemuka bahkan syarikat-syarikat korporat gergasi hingga menjadikan mereka salah satu ikon motosikal terkemuka di AS. Itulah kalau dah berpeluang mempunyai siri realiti TV. Senang cerita, publisiti percuma.

Namun kejayaan ada harganya apabila perpecahan keluarga menjadikan siri yang hanya memfokuskan mengenai motosikal rekaan khas ini turut menyelitkan konflik kekeluargaan yang mana Jr kini mengambil haluan sendiri dengan membuka perniagaan membina motosikal rekaan khasnya sendiri hinggalah kes saling saman menyaman sesama mereka.

Untuk musim terbaru ini, mereka dikatakan meneruskan usaha berbaik seperti yang dipaparkan pada penghujung musim terdahulu. Turut dijangkakan paparan bagaimana mereka menghadapi situasi kemelesetan ekonomi dan hala tuju syarikat masing-masing.

Mungkin tiada lagi pertengkaran anak dan bapak dan harap-harap lebihkan tumpuan kepada rekaan motosikal seperti awal-awal siri ini.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button