Artikel PilihanMotosikal

CGR500 – 500CC, 8-SELINDER DAN DIHASILKAN DALAM MASA 9 TAHUN

Inilah hasilnya bila dua unit enjin Kawasaki ZXR250 4 selinder dicantumkan menjadi satu unit untuk menghasilkan sebuah motosikal unik. Kini ia menjadi satu unit enjin 500 cc V8 yang mampu dipacu sehingga 19,000 rpm. Jika angka tersebut belum mengkagumkan anda, bagaimana jika kami katakan yang motosikal tersebut dihasilkan secara bersendirian oleh pereka, Chris Gordon dan mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan (2003-2011).

CGR500 ini memiliki spesifikasi yang diidamkan oleh ramai penggemar jentera dua roda di luar sana seperi enjin V8 (8-selinder) 500 cc DOHC 32-valve, piston bersaiz 48 mm dan garisan merah pada 19,000 rpm. Ia juga disejukkan oleh sepasang radiator dan bukannya hanya satu unit seperti motosikal biasa.

Siapa Chris Gordon? Beliau merupakan seorang pemuda yang berasal dari New Caledonia yang cukup berbeza dari pencipta motosikal lain. Ini kerana Chris langsung tidak pernah mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan mekanikal. SPM memang tak adalah (sebab dia bukan orang Malaysia pun). Semuanya dipelajari sendiri khususnya dalam proses menghasilkan CGR500 ini.

Ia bermula bila Chris sebuah jentera perlumbaan Honda RS125 (1989) dengan enjin dua-lejang. Namun begitu beliau sentiasa kalah dalam perlumbaan dengan jentera yang lebih moden. Justeru itu Chris menggantikan jentera tersebut dengan Honda RS125 keluaran tahun 1998 yang lebih berdaya saing. Beliau kemudian lebih berjaya sehingga terpilih untuk berlumba dalam perlumbaan GP125 di Australia.

BACA: SUTER MMX 500 – SATU-SATUNYA MOTOSIKAL GP 2-LEJANG YANG BOLEH ANDA MILIKI

Oleh kerana sebahagian besar bajet beliau telah dihabiskan untuk mengubahsuai Honda RS25 tersebut, Chris mencari alternatif lain dengan mengunakan enjin–enjin terpakai ZXR250. Idea beliau ialah untuk menggabungkan dua enjin 250 kepada 500cc V8.

Menggabungkan dua buah enjin walaupun dari jenis yang sama adalah amat sukar. Nasib menyebelahi beliau kerana mempunyai kenalan yang mahir dengan teknik casting (tempa). Beliau membuat sendiri moulding ataupun acuan yang kemudiannya diserahkan kepada kenalan tersebut untuk dihasilkan.

Untuk bahagian lain yang lebih rumit dan memerlukan kimpalan, ia juga dihasilkan sendiri oleh beliau dengan susah payah. Bagi menjimatkan kos kimpalan, Chris menerima nasihat daripada sahabat beliau agar membeli mesin pateri sendiri. Macam mana beliau belajar sehingga mahir menggunakan mesin tersebut tuhan sajalah yang tau.

Sebahagian kerangka termasuklah suspensi hadapan dan belakang diambil daripada Yamaha TZ250. Oleh kerana tidak ada satu casis pun yang didapati sesuai dengan enjin V8 milik CGR500 ini. Chris memutuskan untuk mengubahsuai sistem suspensi TZR dan menghasilkan lengan ayun sendiri untuk menjimatkan kos Termasuklah kerangka. Masalahnya macam mana nak hasilkan  casis sendiri tanpa pendidikan formal?

Jawapannya ialah Chris mempelajari teknik menghasilkan casis daripada buku Chassis Building hasil tulisan John Bradley. Memang dasyat, belajar pakai buku je. Material yang dipilih untuk menghasilkan kerangka ialah chrome-moly sama seperti yang digunakan pada casis motosikal CBX1000. Chris membuat lakaran awal dan mencantumkannya satu persatu.

Hasilnya memang boleh tahan, kalau tidak kerana diberitahu rasanya semua akan menyangka casis atau kerangka motosikal ini dihasilkan di kilang ataupun dihasilkan oleh pereka professional.

Setelah siap dihasilkan, CGR500 ini diserahkan kepada juara Superbike tempatan New Caledonia baru iaitu Dennis Charlett. Walaupun beberapa masalah dikenalpasti namun motosikal ini berjaya dipacu sehingga ke angka 18,000 rpm. Malah ia membuatkan para penonton di litar Ruapuna tercengang kehairanan bila mendengar deruman ekzosnya yang cukup berbeza.

Pada sesi ujian kedua, semua masalah berjaya diatasi dan ia menjadi sebuah motosikal 500 cc sejati. Malangnya Chris enggan melakukan Dynotest untuk CGR500 baru itu, apatah lagi untuk ikut serta berlumba dalam siri perlumbaan tempatan New Caledonia. Ia kerana Chris berpendapat, perlumbaan zaman moden ini sudah jauh berbeza berbanding era 90-an dulu.

 

Google ads
Back to top button