ESAPEKKA LAPPI PODIUM DI RALLY FINLAND. INI BARU BETUL GILA
Pelumba pasukan Toyota Gazoo Racing, Esapekka Lappi berjaya membuktikan kehandalan beliau di Secto Rally Finland apabila berjaya memenangi podium ketiga. Namun kejayaan beliau boleh diibaratkan agak gila ketika menghabiskan saingan dalam keadaan cermin hadapan yang hilang entah ke mana.
Ironinya lima tahun lalu, Esapekka Lappi unggul dengan memenangi Rally Finland juga dengan pasukan Toyota Gazoo Racing dengan memandu Toyota Yaris WRC. Kali ini beliau juga melakukannya sekali lagi, walau pun hanya podium ketiga. Dan beliau kembali lagi bersama pasukan Toyota.
“Ianya sungguh menggilakan,” menurut Esapekka Lappi.
“Pada mulanya kami agak hampir dengan kemenangan tetapi apabila ianya terjadi kemalangan membabitkan cermin hadapan, ianya menjadi sukar untuk memandu. Serasa seperti cermin. Matahari tepat ke arah muka,” ujur beliau lagi.
Jentera Toyota GR Yaris Rally1 yang dipandu Esapekka Lappi terbalik dan berpusing sebanyak tiga kali hingga mengakibatkan kerosakan yang agak teruk juga. Mujur sangkar keselamatan terbukti untuk menjaga keutuhan badan jentera rali pasukan Toyota sekali gus melindungi Esapekka Lappi dan juga Janne Ferm selaku Juruarah daripada mengalami kecederaan serius.
Ketika ingin meneruskan saingan di peringkat akhir, Esapekka Lappi dan Janne Ferm terpaksa memakai goggle bagi melindungi mata sementelah cermin hadapan terpaksa dikeluarkan dan sebahagian kondisi bumbung yang tercabut. Spoiler belakang juga turut mengalami kerosakan. Sudah pasti keselesaan dan kelajuan bukanlah yang dicari. Yang pasti mahu menamatkan saingan dengan posisi terbaik.
Malah menurut Esapekka Lappi lagi, beliau mengalami kesukaran untuk berhubung dan mendengar arahan pace notes dari Janne Ferm disebabkan bunyi yang terlalu bising menerjah masuk ke kabin. Esapekka Lappi juga terpaksa sedikit memperlahankan jentera GR Yaris Rally1 beliau ketika ada lompatan disebabkan kehilangan daya aerodinamik. Dibimbangi jentera beliau gagal mendarat dengan kemas sekiranya melakukan lompatan yang tinggi.
Yang pasti Esapekka Lappi masih berupaya mencatat podium walau pun disebalik masalah yang melanda. Memang gila dibuatnya. Untuk rekod, Esapekka Lappi yang berkongsi jentera ketiga bersama Sebastian Ogier musim ini akan berlumba untuk dua perlumbaan berikutnya di Belgium dan Greece.
BACA : WRC 2022 – OTT TANAK MENANG BUAT KALI KETIGA DI RALLY FINLAND