Artikel Pilihan

GWM HAVAL H7 Hi4 – PHEV DENGAN 1000KM

GWM Haval H7 Hi4 tampil di reruai GWM dengan pendekatan reka bentuk yang jelas mengikuti trend SUV moden berimej lasak. Garisan badan yang berbentuk kotak, lampu hadapan bulat yang digabungkan dengan jalur LED mendatar, serta posisi badan yang tinggi memberikan imej seolah-olah ia sebuah SUV off-road sejati.

Di sebalik rupa yang agresif ini, H7 sebenarnya dibina menggunakan struktur monocoque bukannya ladder frame seperti SUV off-road tradisional. Ini bermaksud fokus sebenar kenderaan ini adalah kepada keselesaan pemanduan harian, kestabilan di jalan raya, serta kecekapan, bukannya keupayaan meredah laluan ekstrem di hutan belantara

Dengan panjang sekitar 4.7 meter dan jarak roda hampir 2.8 meter, Haval H7 Hi4 berada dalam segmen SUV bersaiz sederhana yang sama dengan model seperti CR-V atau CX-60. Saiz ini memberikan keseimbangan antara ruang kabin yang luas dan pemanduan bandar.

Haval H7 Hi4 menampilkan suasana kabin yang moden dan sarat dengan teknologi. Skrin infotainment bersaiz besar sekitar 14.6 hingga 15.6 inci menjadi pusat kawalan utama, disokong oleh paparan instrumen digital 12.3 inci serta ciri head-up display.

Material yang digunakan juga menunjukkan peningkatan dari segi kualiti, dengan kemasan lembut dan tempat duduk berbalut kulit yang memberikan rasa premium.

Apa yang membezakan Haval H7 Hi4 daripada pesaingnya ialah sistem kuasa yang digunakan. Sistem Hi4 atau Hybrid Intelligent 4WD menggabungkan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan sistem PHEV. Dalam versi pacuan semua roda, motor elektrik dipasang di gandar hadapan dan belakang, membolehkan sistem AWD berfungsi tanpa penggunaan aci pemacu tradisional.

Hasilnya ialah penghantaran kuasa yang lebih pantas dan cekap. Trenkuasa ini boleh menjana sehingga 448 Ps dan 660Nm tork menjadikannya antara SUV plug-in hybrid paling berkuasa dalam kelasnya.

Sebagai sebuah plug-in hybrid, Haval H7 Hi4 dilengkapi bateri berkapasiti sekitar 44.7 kWh hingga lebih besar bergantung kepada varian. Ini membolehkannya bergerak sepenuhnya menggunakan tenaga elektrik sejauh kira-kira 190 kilometer.

Apabila digabungkan dengan enjin petrol, jumlah jarak perjalanan keseluruhan boleh melebihi 1000 kilometer. Ini memberikan fleksibiliti maksimum kepada pengguna, sama ada untuk perjalanan jarak dekat secara elektrik atau perjalanan jauh tanpa risau berkenaan isu pengecasan.

Dari segi keselamatan, H7 dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu moden seperti adaptive cruise control, lane keeping assist, autonomous emergency braking, pemantauan titik buta dan kamera 360 darjah. Semua ini meletakkan H7 pada tahap ADAS Level 2.5+, memberikan keyakinan tambahan kepada pemandu dalam pelbagai situasi.

Google ads
Back to top button