Buletin

AS BAKAL TAYANG PESAWAT PENGEBOM NUKLEAR KALIS RADAR. RM107 BILION SEUNIT

Senator Amerika Syarikat (AS), Mike Rounds mengesahkan bahawa sebuah pesawat pengebom halimunan rahsia milik tentera AS akan didedahkan kepada umum akhir tahun ini, lapor akhbar Daily Star.

Kewujudan pesawat pengebom B-21 Raider itu sering kali diuar-uarkan sebelum ini, namun tidak pernah disahkan oleh Pentagon.

Rounds menyatakan perkara itu selepas menjadi satu-satunya pegawai wakil rakyat yang menyertai lawatan rahsia ke kilang yang membangunkan jet tersebut baru-baru ini.

Jet pengebom kalis radar tersebut akan melakukan penerbangan pertama pada 2023.

“Banyak maklumat yang saya peroleh semasa sesi lawatan ini adalah maklumat rahsia. Namun saya ingin melaporkan bahawa pembinaan B-21 adalah mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan.

“Orang ramai dijangka boleh melihat jet tersebut hujung tahun ini. Ia merupakan antara  pesawat paling canggih yang pernah dihasilkan,” kata senator dari negeri Dakota Selatan itu.

Jenis senjata yang akan dibawa oleh pesawat B-21 atau nama penuhnya, Northrop Grumman B-21 Raider itu masih belum diketahui.

Ia dijangka beroperasi sebagai pesawat pengebom strategik antara benua. Pesawat  jarak jauh dengan muatan berat itu mampu membawa senjata konvensional dan bom nuklear.

Bilangan  B-21 yang dibina setakat ini dirahsiakan, namun sebuah pesawat itu dijangka berharga sekitar AS$24 bilion (RM107 bilion).  Tambah Rounds, B-21 Raider akan mempunyai penambahbaikan keselamatan tambahan kerana ia merupakan pesawat pengebom berkeupayaan nuklear. – Agensi 

Google ads
Back to top button