Buletin

AUSTRALIA NEGARA PALING MURAH BELI DAN BELA KERETA. PALING MAHAL, TURKI

Kereta merupakan pelaburan kedua terbesar seseorang individu selepas membeli rumah. Harga kereta juga berbeza di setiap negara kerana kerajaan mengguna pakai kaedah pengiraan cukai yang berlainan. 

Persoalannya sekarang, penduduk negara mana yang boleh memiliki sebuah kereta pada harga paling murah? Menurut satu kajian oleh scrapcomparison, negara tersebut ialah Australia, diikuti oleh Amerika Syarikat dan Denmark. 

Bagi membuatkan kajian itu memberi perspektif yang lebih realistik, ia tidak hanya menilai purata harga kereta. Sebaliknya, kos insurans, baik pulih dan bahan api turut diambil kira bagi melihat perbezaan dari segi kos keseluruhan memilki sebuah kereta. 

Kemudian, scrapcomparison membandingkan pula kos tadi dengan purata gaji tahunan penduduk di setiap negara untuk melihat sejauh mana kereta mampu dimiliki oleh rakyat biasa. 

Hasilnya, Australia merupakan negara terbaik untuk mereka yang gemarkan kereta kerana hanya 49.48% daripada gaji tahunan diperlukan untuk mendapatkan sebuah kereta. Amerika pula mendapat skor 54.87 peratus dan Denmark 60.34 peratus. 

Kanada berada di kedudukan keempat dengan 64.40 peratus dan Sweden 75.84 peratus. Senarai itu diikuti oleh Jerman (78.44%), Belanda (84.65%), Perancis (87.00%), United Kingdom (89.36%) dan Finland (91.58%). 

Jika diliteliti, perbezaan peratusan di antara Australia dengan Finland cukup besar. Ini menunjukkan betapa bertuahnya rakyat Australia dan Amerika berbanding negara lain dalam aspek pemilikan kereta. 

Bagaimana pula dengan negara yang menawarkan harga kereta paling mahal? Turki berada di tempat pertama kerana pemilikan kereta memerlukan 652.29 peratus pendapatan tahunan untuk membeli dan menggunakan sebuah kereta. Angka itu adalah 13 kali ganda berbanding Australia. 

Negara kedua paling mahal ialah Argentina (515.77%), diikuti oleh Columbia (508.93%), Uruguay (443.68%) dan Brazil (441.89%). Kedudukan keenam hingga sepuluh dihuni oleh Ukraine (413.78%), Guatemala (355.94%), Rusia (290.04%), Mexico (285.20%) dan Costa Rica (269.83%).

Walaupun dapatan kajian ini menarik, namun kita tidak perlu ambil serius sangat. Ini kerana kajian tersebut hanya melibatkan 40 buah negara daripada 195 negara di seluruh dunia. Pengiraan juga dibuat berdasarkan kepada harga Volkswagen Golf dan Toyota Corolla baharu tanpa mengambil kira kos kereta terpakai di setiap pasaran. 

Lagi satu, gaji purata dilihat jauh lebih tinggi berbanding gaji minimum setiap negara yang mungkin boleh menjadi indikator lebih baik untuk kajian ini. 

Google ads
Back to top button