Buletin

HAMPIR 400 SUBARU BERHIMPUN MERIAHKAN SUBIEFEST 2026 DI LITAR APDCREW

Hampir 400 kenderaan Subaru dari Malaysia dan Singapura membanjiri Litar APDCREW sempena penganjuran SUBIEFEST Malaysia 2026, sekali gus membuktikan acara itu semakin mendapat tempat sebagai antara festival komuniti Subaru terbesar di rantau ini.

Menurut penganjur, objektif utama SUBIEFEST 2026 adalah menghimpunkan pemilik dan peminat Subaru dari seluruh negara serta negara jiran dalam satu platform yang lebih besar dan tersusun.

Festival itu bukan sahaja menjadi medan mempamerkan kenderaan, malah bertujuan mengukuhkan hubungan komuniti, mempromosikan budaya automotif dan sukan permotoran yang positif serta memberi peluang kepada pemilik berkongsi pengalaman dan hasil modifikasi masing-masing.

“Paling penting, SUBIEFEST bukan sekadar acara kereta, tetapi platform untuk mengeratkan persahabatan, keluarga dan komuniti melalui minat yang sama terhadap Subaru,” kata penganjur.

Pendaftaran awal merekodkan hampir 300 penyertaan pelbagai model Subaru, namun sambutan pada hari acara jauh mengatasi jangkaan apabila hampir 50 lagi kenderaan didaftarkan di lokasi.

Lebih 40 pemilik Subaru turut meletakkan kenderaan di kawasan luar venue bagi mengelakkan kesesakan, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan menghampiri 400 buah kenderaan.

Sambutan tahun ini juga menunjukkan peningkatan berbanding edisi terdahulu dengan penyertaan dari seluruh negara termasuk utara, tengah, selatan dan pantai timur Semenanjung, selain hampir 40 buah Subaru dari Singapura.

Penganjur berkata, peningkatan itu membuktikan SUBIEFEST semakin diterima sebagai platform utama komuniti Subaru di rantau ASEAN.

Pemilihan Litar APDCREW sebagai lokasi acara dibuat kerana kemudahannya yang sesuai untuk menggabungkan pameran automotif, aktiviti komuniti dan sukan permotoran dalam satu kawasan.

Venue itu menawarkan ruang luas bagi menempatkan ratusan kenderaan, kawasan pameran, pentas utama serta aktiviti seperti drift dan autocross dalam persekitaran yang lebih selamat dan tersusun.

Komuniti Subaru di Malaysia pula disifatkan terus berkembang dengan penyertaan bukan hanya melibatkan model berprestasi seperti WRX dan WRX STI, malah turut disertai pemilik Impreza, Forester, XV serta pelbagai model klasik dan moden yang masih dipelihara dengan baik.

Antara tarikan istimewa tahun ini ialah kemunculan dua buah Subaru Impreza GC8 dua pintu milik Sarman Printing dan Jalil, selain sebuah Subaru R1 berenjin 660cc serta Subaru Vortex milik Teraju Auto yang baru selesai menjalani proses restorasi.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang festival termasuk Subaru Auto Show, pertandingan Subaru Top 5 Autocross, Subaru Tarmac Rally Taxi Ride, Drift Taxi Ride, pameran vendor dan aksesori automotif, cabutan bertuah, aktiviti komuniti serta sesi santai Subaru & Coffee yang turut mesra keluarga.

Menurut penganjur, gabungan pelbagai aktiviti itu memastikan SUBIEFEST 2026 menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peminat Subaru, penggemar sukan permotoran, peminat modifikasi serta orang ramai yang ingin menikmati suasana festival automotif.

Mereka berharap SUBIEFEST akan terus berkembang sebagai platform yang bukan sahaja mempamerkan keunikan kenderaan Subaru, malah meraikan semangat persahabatan, budaya automotif dan sukan permotoran dalam kalangan komuniti di Malaysia dan rantau ASEAN.

Google ads
Back to top button