Artikel Pilihan

MAHAL KE KOS SERVIS KENDERAAN SEGMEN B? KAMI BANDINGKAN SEMUA MODEL TERBARU

Tahun 2021 menyaksikan banyak kenderaan baru segmen B dilancarkan. Dari model sedan ( Vios, Almera, City), Crossover/SUV (Proton X50, Perodua Ativa) dan juga MPV Mitsubishi Xpander. Sebenarnya segmen B ini walaupun keuntungan dari jualan tidaklah besar mana, tapi ia menang dari segi jumlah jualan.

Kebanyakan pembeli yang mampu akan memilih untuk membeli kenderaan segmen B ini dari unit baru terus dari pusat jualan berbanding dari membeli unit terpakai. Bila beli baru, maka menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan ia sentiasa diservis mengikut sela masa yang ditetapkan oleh pengeluar.

Ini senarai kereta segmen B yang baru dijual di Malaysia dan kos penyelenggaraannya sehingga 100,000km.

1. Nissan Almera N18 – Dalam sedan segmen B, hanya Nissan Almera ditawarkan dengan trenkuasa turbo. Enjin 3 silinder 1000cc ini menghasilkan sekitar 99 kuasa dan 152Nm tork dipadankan dengan transmisi CVT. Untuk rekod, Almera memerlukan sehingga 15 kali lawatan ke pusat servis sehingga mencapai 98,000km.

Sehingga ke perbatuan 98,000km, pemilik perlu mengeluarkan belanja sehingga RM 5358 untuk kos penyelenggaraan (preventive maintenance). Kos ini tidak termasuk kos alat ganti

2. Proton Persona CVT Premium – Dalam sedan segmen B, Persona merupakan antara model yang paling murah dari harga serendah RM 42,600 bagi varian manual dan sehingga RM 54,600 bagi varian CVT Premium. Semakan kami di laman web Proton juga mengesahkan Persona antara model yang menjimatkan poket untuk servis.

Dari perbatuan 0-100,000km, pemilik perlu membelanjakan sekitar RM 3183.7 untuk servis penyelenggaraan biasa bagi varian CVT. Varian manual akan lebih murah sedikit disebabkan kos servis transmisi manual yang lebih rendah.

3. Perodua Ativa – Sama seperti Persona, kos servis Perodua Ativa juga boleh dikatakan agak jimat. Ini kerana Ativa tidak perlu diservis pada 1000km pertama melainkan pemeriksaan yang dilakukan secara percuma sahaja. Kos servis sehingga 100,000km bagi Ativa ialah RM 3177.9 merangkumi kos penyelenggaraan

Namun kami mengingatkan kos penggantian tayar bersaiz 16 atau 17 yang digunakan oleh Ativa tidak murah ya, walaupun kos cukai jalan hanyalah RM 20 sahaja setahun.

4. Toyota Vios – model ini adalah antara model yang menjadi pilihan bagi pemilik yang ingin menaiktaraf kenderaan mereka dari jenama tempatan kepada jenama Jepun. Nama Vios agak popular dan varian paling rendah dijual pada harga RM 74,623.

Kos penyelenggraan Vios sehingga 100,000km ialah RM 3882 jika anda menggunakan minyak mineral, meningkat kepada RM 4242 untuk minyak enjin semi sintetik dan menjadi RM 4602 jika anda menggunakan minyak sintetik penuh. Semunya bergantung pada poket anda

5. Mitsubishi Xpander – menjadi MPV pilihan popular disebabkan rekaannya yang lebih agresif berbanding dengan Honda BRV dan juga gandingan Perodua Aruz/Toyota Rush. Pemilik perlu membayar RM 4215 untuk kos servis sehingga 100,000km. Kos paling mahal ialah ketika perbatuan mencecah 60,000km iaitu RM 911.41

6. Honda City – selain daripada Honda Jazz, model City merupakan antara model yang termurah bagi pemilik yang ingin mencuba jenama Honda. Sama seperti Vios, Honda City hanya perlu diservis pada setiap 10,000km sahaja. Pemilik perlu membelanjakan RM 3669.71 untuk kos keseluruhan servis sehingga 100,000km

7. Proton X50– merupakan crossover terhangat di pasaran dengan waktu menunggu boleh melebihi 6 bulan. Proton X50 menawarkan banyak ciri-ciri moden pada harga yang sangat unasabah menjadikan model ini laku keras. Kos servis Proton X50 mencecah RM 4887 untuk kos servis sehingga 100,000km

Anda boleh lihat semua maklumat tambahan pada pautan yang diberikan di atas. Berdasarkan data, Nissan Almera memerlukan anda menghantar kereta ke pusat servis dengan lebih kerap dan paking mahal dalam sedan segmen B. Almera juga hanya menawarkan sela masa 7000km bagi memastikan sistem turbo dilindungi dengan baik

Kos kedua paling mahal ialah Proton X50 yang menggunakan teknologi turbo pada enjin serta transmisi 7 kelajuan DCT. Bagi kategori sedan, Proton Persona hanya memerlukan RM 3183.7 untuk kos servis paling murah dalam kategori sedan.

Bagi kategori crosssover paling baru, Ativa hanya memerlukan RM 3177 untuk kos servis keseluruhan. Ia lebih murah berbanding dengan Proton Persona. Tapi kami ingin mengingatkan kos penukaran tayar bersaiz 17 tidaklah murah, apatah lagi saiz 18 yang digunakan oleh Proton X50

Google ads
Back to top button