Buletin

JPJ TERENGGANU SYOR SPESIFIKASI TEKNIKAL DIWAJIBKAN BAGI PESERTA ACARA PERMOTORAN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesyorkan penganjur program permotoran menetapkan spesifikasi teknikal minimum terhadap motosikal peserta sebagai syarat penyertaan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membudayakan pematuhan standard kenderaan.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, penetapan tanda aras terhadap spesifikasi motosikal perlu dilaksanakan bagi memastikan hanya motosikal yang memenuhi syarat keselamatan dibenarkan menyertai sesuatu program.

“Spesifikasi motosikal sepatutnya dijadikan satu tanda aras. Jika ingin menyertai program seperti ini, peserta perlu mematuhi syarat minimum yang ditetapkan sebelum dibenarkan memasuki kawasan acara.

Langkah ini mampu mendorong dan membudayakan aspek keselamatan dalam kalangan peserta, di samping meningkatkan kualiti penganjuran program,” katanya ketika ditemui RTM di pejabat JPJ Terengganu, di sini, hari ini.

Selain spesifikasi teknikal motosikal, Mohd Zamri turut mengesyorkan penganjur menyediakan pakaian berwarna cerah kepada peserta bagi meningkatkan tahap keterlihatan penunggang, terutama ketika menunggang pada waktu malam.

Menurutnya, penunggang motosikal merupakan antara pengguna jalan raya yang paling berisiko, justeru penggunaan pakaian berwarna cerah dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan.

Beliau turut mencadangkan supaya perlindungan insurans disediakan secara automatik kepada semua peserta sebagai sebahagian daripada pakej penyertaan, berbanding ditawarkan secara pilihan.

“Apabila peserta membeli tiket, mereka sepatutnya terus dilindungi di bawah insurans berkumpulan. Langkah ini dapat meningkatkan keselamatan dan memberi jaminan perlindungan kepada peserta,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zamri mengingatkan peserta supaya tidak melakukan aksi berbahaya atau memandu secara melulu ketika menyertai program permotoran.

“Tidak wajar peserta melakukan aksi berbahaya atau berlumba sesama sendiri hanya kerana terlalu teruja apabila berkumpul dalam jumlah yang ramai.

“Perbuatan seperti aksi ‘Superman’ dan aksi berbahaya lain bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang kemalangan serta mengancam nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin memaklumkan, pihak polis telah mengeluarkan 1,850 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 222 motosikal sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 di negeri ini.

Sebanyak 29 kes kemalangan jalan raya dicatatkan pada penganjuran tahun 2026, berbanding 11 kes yang direkodkan pada penganjuran tahun 2025.

Daripada jumlah tersebut, lima kematian dicatatkan pada tahun ini berbanding dua kes pada tahun lalu. – Berita RTM

Google ads
Back to top button