Buletin

WRC 2021 – THIERRY NEUVILLE MENANG DI BUMI SENDIRI

Minggu lepas telah berlangsungnya pusingan kelapan dalam kalendar WRC musim 2021 yang berlangsung di Belgium dengan menyaksikan kemenangan yang agak ironi melalui hero tuan rumah, Thierry Neuville. Perlumbaan Renties Ypres Rally Belgium jelas sekali menyaksikan dominasi Thierry Neuville sejak mula saingan tanpa melibatkan sebarang insiden yang sering terjadi sebelum ini apabila sering mengalami kecelakaan sewaktu sedang sedap mendahului saingan.

Bertambah manis apabila seorang lagi rakan sepasukan dari Hyundai Shell Mobis, Craig Breen turut mengekori rapat untuk berada di podium kedua setelah mengharungi saingan hampir 300 km jarak perlumbaan di kawasan ladang Flanders serta litar perlumbaan Spa-Francorchamps. Craig Breen ketinggalan 30.7 saat di belakang Thierry Neuville.

This image has an empty alt attribute; its file name is WRC-Renties-Ypres-Rally-Thierry-Neuville-Belgium-Mekanika.jpg

Kemenangan Thierry Neuville ini adalah yang pertama semenjak bergandingan dengan Martijn Wydaeghe, pemuda berusia 28 tahun yang turut berasal dari Belgium. Dengan kemenangan ini, melonjakkan kedudukan pungutan mata untuk berkongsi posisi kedua keseluruhan bersama Elfyn Evans dengan mengutip 124 mata.

Kemenangan Thierry Neuville ini pasti melegakan beliau dan kem pasukan Hyundai sendiri. “Kami agak tertekan untuk datang ke sini tetapi saya berasa cukup selesa sepanjang minggu dan saya boleh berharap kepada pasukan dan jentera saya”, menurut pemandu yang berusia 33 tahun itu.

“Saya berasa cukup lega diatas kemenangan ini bersama Martijn di Belgium. Kemenangan ini sepatutnya diraih lebih awal tetapi tuah tidak bersama kami. Rasanya cukup bagus sekarang ini,” tambah Thierry Neuville lagi.

Manakala tempat ketiga berjaya diraih pemandu muda pasukan Toyota, Kalle Rovanperä yang berjaya mengenepikan saingan rakan sepasukan Elfyn Evans dan Sebastian Ogier yang masing – masing berada di kedudukan keempat dan kelima keseluruhan. Harapan Sebastian Ogier untuk berada merebut podium sedikit hampa apabila mengalami masalah tayar pancit pada saingan hari Ahad.

Satu perkara menarik tentang pasukan Hyundai, di Renties Ypres Rally Belgium juga mereka membuat debut untuk jentera baharu Rally2 mereka apabila duo Oliver Solberg dan Jari Huttunen diberi peluang untuk beraksi dengan jentera serba baharu tersebut.

Ternyata kedua mereka tak menghampakan. Oliver Solberg sendiri beraksi dengan baik dan cemerlang di awal saingan WRC2. Namun rezeki tidak berpihak kepada beliau apabila mengalami masalah tayar pancit sekali gus memberikan ruang dan peluang buat Jari Huttunen untuk memenangi WRC2 di bumi Belgium.

Pusingan kesembilan nanti bakal beraksi di Greece pada awal September nanti.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 162 mata
  2. Elfyn Evans – 124 mata
  3. Thierry Neuville – 124 mata

Kedudukan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 348 mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 307 mata
  3. M-Sport Ford – 135 mata

BACA : WRC 2021 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI RALLY DE PORTUGAL

BACA : WRC 2021 – OTT TANAK KEMBALI MENANG DI ARCTIC RALLY FINLAND

Google ads

B K

Back to top button