
PERODUA TURUNKAN HARGA AXIA SEHINGGA RM4,700
Perodua mengumumkan penurunan harga bagi model Axia, kereta kompak paling mampu milik di Malaysia, dengan pengurangan sehingga RM4,700, berkuat kuasa serta-merta.
Semakan harga ini dibuat hasil peningkatan kecekapan operasi syarikat, sekali gus membolehkan penjimatan tersebut disalurkan terus kepada pelanggan. Langkah itu juga dilihat sebagai usaha Perodua membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.
Bagi Semenanjung Malaysia, varian Axia 1.0G menerima potongan harga terbesar sebanyak RM4,700, daripada RM38,600 kepada RM33,900.
Varian 1.0X pula kini dijual pada RM38,500 berbanding RM40,000 sebelum ini, manakala 1.0SE turun kepada RM43,000 daripada RM44,000. Bagi varian tertinggi 1.0AV, harga baharu ialah RM49,000, iaitu pengurangan sebanyak RM500.
Di Sabah dan Sarawak, Axia 1.0G kini ditawarkan pada harga RM35,900 berbanding RM40,600 sebelum ini.
Axia 1.0X pula berharga RM40,500, diikuti 1.0SE pada RM45,000 dan 1.0AV pada RM51,000. Semua harga yang diumumkan tidak termasuk kos insurans.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, berkata semakan harga tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk membantu mengurangkan tekanan kos yang dihadapi pengguna di Malaysia.
Menurut beliau, peningkatan kecekapan operasi bukan sahaja memberi kesan kepada harga jualan Axia, malah turut membolehkan Perodua menawarkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah serta menyemak semula harga pakej QV-E dan Battery as a Service (BaaS).
Beliau turut menjelaskan bahawa semua spesifikasi serta tahap kualiti Axia kekal seperti sedia ada, manakala pengurangan harga dicapai sepenuhnya melalui penambahbaikan proses kerja dan peningkatan kecekapan operasi tanpa menjejaskan mutu produk.
Tambahnya lagi, tawaran harga baharu itu adalah hasil inisiatif penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan bersama pembekal tempatan serta rakan strategik dalam ekosistem automotif negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rangkaian vendor dan pengedar Perodua atas kerjasama yang diberikan dalam meningkatkan kecekapan kos, sekali gus membolehkan manfaat tersebut dinikmati oleh industri dan pengguna.
Sebagai model paling mampu milik dalam barisan kenderaan Perodua, Axia terus memainkan peranan penting sebagai pengangkutan harian rakyat Malaysia.
Penurunan harga ini dijangka menjadikan model tersebut lebih mudah dimiliki oleh lebih ramai pembeli di seluruh negara.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai harga baharu atau membuat tempahan boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran Perodua atau menghubungi penasihat jualan sah Perodua berhampiran.

