
NISSAN SERENA C28 PREMIUM HIGHWAY STAR. TAK SEMPURNA TAPI PRAKTIKAL
Segmen MPV bersaiz sederhana atau C-segment di Malaysia sebenarnya bukanlah sebuah pasaran yang mempunyai terlalu banyak pilihan. Kalau anda mahukan sebuah MPV 3 baris tempat duduk dengan pintu gelangsar, pilihan biasanya berkisar kepada model seperti Toyota Voxy, Toyota Noah, Nissan Serena dan Honda Stepwgn.
Dalam kelompok ini, Nissan Serena mempunyai satu kelebihan yang cukup besar. Ia ditawarkan secara rasmi di Malaysia, lengkap dengan sokongan selepas jualan dan waranti pengeluar dengan harga bermula sekitar RM154,000. Bagi unit pandu uji kali ini, kami diberikan Serena e-POWER Premium Highway Star yang berharga sekitar RM174,000.

Selepas menghabiskan masa dengan Serena beberapa hari penulis rasakanmungkin bukan MPV paling menyeronokkan untuk dipandu, tetapi sebagai sebuah kenderaan keluarga ia adalah pilihan yang tepat. Serena C28 masih mengekalkan formula klasik sebuah MPV Jepun dengan rekaan dua kotak yang tinggi, kurus dan panjang.
Ia bukan sekadar pilihan gaya kerana di Jepun, ruang merupakan komoditi yang sangat bernilai. Sebab itu MPV seperti Serena direka untuk memaksimumkan ruang kabin tanpa menjadikan badan terlalu lebar dengan panjang 4,765mm, lebar 1,715mm dan jarak roda 2,870mm.
Badannya yang tinggi pula membolehkan Nissan menghasilkan kabin yang terasa jauh lebih besar daripada ukuran luarannya. Lantainya juga rendah iaitu sekitar 125mm, menjadikan proses keluar masuk lebih mudah. Tambahan pula pintu gelangsar di kedua-dua sisi menjadikan Serena sangat praktikal ketika digunakan bersama anak-anak atau ketika parkir di ruang sempit.

Bahagian hadapan menggunakan interpretasi terbaru wajah V-Motion Nissan. Rekaan muka depan secara keseluruhannya nampak lebih bersih dengan jeriji yang disepadukan bersama tiga lapisan lampu LED serta lampu kabus di bahagian bawah.
Nissan turut memberi perhatian kepada aerodinamik dengan penambahan air curtain yang membantu mengawal aliran udara di sekeliling badan bagi mengurangkan turbulens dan membantu kestabilan ketika bergerak dalam garis lurus.
Untuk rekaan belakang, lampu berbentuk boomerang memberikan identiti tersendiri kepada Serena. Rekaan keseluruhannya ringkas dan moden, lengkap dengan spoiler pada bahagian bumbung dan Nissan memilih untuk mengekalan rekaan Dual Back Door.

Selain membuka keseluruhan pintu belakang, bahagian kaca atas boleh dibuka secara berasingan yang dihasilkan daripada bahan thermoplastik. Ia sangat berguna apabila kereta diparkir rapat dengan dinding atau kenderaan lain.
Ruang bagasi menawarkan kapasiti sekitar 280 liter dan boleh berkembang sehingga kira-kira 824 liter sekiranya kusyen belakang dilipat. Malah terdapat ruang simpanan tersembunyi sekitar 60 liter di bawah lantai.
Tetapi perubahan paling penting pada Serena C28 ialah sistem e-POWER yang menjadi nadi pada MPV ini. Ia dikuasakan dengan enjin petrol HR14DDe 1.4 liter tiga silinder aspirasi semula jadi yang menghasilkan 98PS dan 123Nm. Tetapi enjin ini tidak memacu roda secara terus.
Sebaliknya Serena menggunakan sistem hibrid siri di mana enjin petrol berfungsi terutamanya sebagai generator untuk menghasilkan elektrik. Kuasa yang menggerakkan roda datang daripada motor elektrik yang menghasilkan 163PS dan 315Nm tork.

Ini menjadikan karakter Serena agak berbeza daripada MPV petrol konvensional dengan tindak balas awal pedal hampir menyerupai sebuah EV. Tenaga elektrik disimpan dalam bateri berkapasiti 1.77kWh yang ditempatkan di bahagian depan kenderaan lengkap dengan saluran pengudaraan.
Apabila anda masuk ke bahagian hadapan, perkara pertama yang terasa ialah betapa lapangnya kabin Serena. Nissan menggunakan pendekatan reka bentuk yang menolak papan pemuka ke hadapan dan ke bawah menjadikan ruang visual di hadapan pemandu menjadi lebih besar.
Papan pemukanya sendiri ringkas tetapi masih mempunyai sedikit elemen reka bentuk moden untuk mengelakkannya kelihatan terlalu kosong. Pada masa sama ia masih menawarkan ruang penyimpanan termasuk ruang pada bahagian atas papan pemuka.
Ruang penyimpanan di bahagian bawah panel penghawa dingin misalnya tidak praktikal seperto yang dijangkakan dengan telefon mudah tergolek keluar. Glovebox bawah juga terasa agak kecil untuk sebuah MPV yang begitu mengutamakan praktikaliti dan sukar dicapai.

Untuk varian Premium Highway Star, penggunaan kulit dan jahitan dikenakan pada beberapa bahagian kabin membantu memberikan sedikit rasa premium. Serena juga menawakan dua skrin 12.3 inci yang membentuk paparan digital di hadapan pemandu dan sistem infotainmen lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar disediakan bersama pengecas telefon tanpa wayar
Kalau mahu tahu untuk siapa Serena sebenarnya dibina, cuba duduk di baris kedua. Ia ditawarkan dengan 2 kerusi captain seat, meja lipat, blind pada tingkap, kawalan penghawa dingin sendiri dan pelbagai ciri menarik seperti 15 pemegang cawan, enam port USB serta satu soket kuasa.
Jelas sekali jurutera Nissan membayangkan Serena sebagai sebuah ruang bergerak untuk keluarga, bukannya sekadar kereta tujuh tempat duduk. Barisan ketiga pula masih boleh memuatkan tiga penumpang dan mempunyai sehingga 13 konfigurasi tempat duduk bergantung kepada bagaimana ruang kabin mahu digunakan.
Namun pada harga sekitar RM174,000 untuk Premium Highway Star, terdapat beberapa perkara yang penulis rasakan boleh diperbaiki seperti kusyen hadapan masih tidak mempunyai pelarasan elektrik dan pintu belakang juga bukan jenis berkuasa elektrik dan soket 12V di bahagian bawah pula agak sukar dicapai.

Tetapi kelebihan terbesar Nissan Serena dengan sistem e-POWER boleh dirasakan sebaik sahaja Serena mula bergerak. Tork 315Nm daripada motor elektrik membuatkan Serena memcut dengan pantas walaupun berat MPV ini menghampiri 1.8 tan
Pecutan 0-100km/j mengambil masa sekitar 10 saat, tetapi angka tersebut sebenarnya tidak begitu penting. Apa yang lebih berguna ialah tindak balas pada kelajuan rendah seperti keluar simpang, memotong atau bergerak dalam trafik bandar. Serena terasa jauh lebih responsif daripada apa yang anda jangkakan daripada sebuah MPV besar.
Terdapat tiga mod pemanduan selain ditawarkan termasuklah Sport, ECO dan Normal manakala EV Mode dengan fungsi pemanduan satu pedal yang membantu mengurangkan keperluan menggunakan brek dalam keadaan tertentu.
Penggunaan bahan api rasmi berada sekitar 18.5km/l dan secara teori Serena mampu menghampiri 962km dengan satu tangki penuh. Dalam ujian pemanduan sebenar, angka sekitar 16km/l lebih realistik, dengan jarak sekitar 800km bagi satu tangki.

Satu perkara yang kami perhatikan ialah apabila dipandu lebih laju, enjin petrol akan bekerja dengan lebih kerap untuk menghasilkan elektrik. Digabungkan dengan berat hampir 1.8 tan, penggunaan bahan api tentunya akan meningkat sedikit, menjelaskan mengapa kami mendapat purata 16km/liter.
Penulis juga mendapati stereng Serena terasa ringan dan mempunyai nisbah yang agak besar. Untuk sebuah MPV keluarga, pendekatan ini sebenarnya masuk akal. Stereng yang terlalu tajam boleh membuatkan pergerakan badan terasa lebih agresif dan menyebabkan penumpang cepat pening.
Namun Nissan turut melakukan beberapa perubahan terhadap casis C28. Bahagian hadapan cesi menggunakan asas subframe daripada generasi terdahulu Nissan X-Trail, sementara kekakuan beberapa komponen telah dipertingkatkan. Kekakuan bar penstabil ditingkatkan sekitar 20% dan kekakuan suspensi pula naik sekitar 50%.

Nissan turut mendakwa semua peningkatan diatas diterjemahkan kepada jumlah pembetulan stereng telah dikurangkan sekitar 23 peratus. Penulis bersetuju dengan angka ini kerana ketika dipandu di lebuh raya, kestabilan di laluan lurus terasa bagus
Tetapi apabila dibawa dengan lebih agresif di jalan berselekoh, karakter sebuah MPV tinggi mula muncul. Pada sekitar 90km/j di jalan kampung yang berselekoh, body roll mula terasa dengan jelas dan pemandu boleh mula terasa sedikit gayat.
Pada masa sama rekaan badan yang tinggi turut menjadikan Serena lebih mudah dipengaruhi angin lintang. Ironinya, motor elektriknya pula mempunyai tindak balas yang begitu pantas sehingga kadang-kadang ketika di selekoh ia menyebabkan penulis terasa lebih gayat

Namun semua talaan ini memberikan keselesaan pada penumpang. Sebagai contoh, tetapan suspensi Serena direka dengan lembut menjadikan Bonggol serta permukaan jalan yang kurang sempurna dapat diserap dengan baik tanpa terlalu banyak hentakan memasuki kabin.
Untuk perjalanan jauh bersama keluarga, karakter seperti ini jauh lebih penting berbanding kemampuan mengambil selekoh dengan laju. Rekaan bumbung tinggi, tempat duduk juga tinggi tetapi papan pemukanya rendah memberikan pandangan keluar yang luas.
Cermin sisi juga diletakkan agak rendah dan membantu meningkatkan kawasan penglihatan pemandu. Selain itu tahap NVH Serena C28 sudah bertambah baik berbanding generasi sebelumnya. Walaupun unyi tayar dikawal dengan agak baik, tetapi bunyi trafik dari luar masih boleh memasuki kabin.

Sistem e-POWER juga mempunyai satu karakter tersendiri. Ketika bergerak perlahan menggunakan motor elektrik, kabin boleh terasa sangat senyap. Tetapi apabila bateri memerlukan tenaga atau ketika kereta dipandu lebih laju, enjin 1.4 liter akan hidup untuk menghasilkan elektrik dan bunyinya masih boleh didengari walaupun perlahan.
Dari aspek keselamatan, Serena C28 turut dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemanduan terkini seperti Intelligent Cruise Control, Intelligent Lane Intervention dan Intelligent Blind Spot Intervention bersama beberapa sistem bantuan pemanduan lain menjadikan MPV ini lulus ujian JNCAP dengan markah 87.4%
Untuk sebuah kenderaan yang tugas utamanya membawa keluarga, kelengkapan keselamatan aktif seperti ini adalah satu perkara yang penting menjadikan Nissan Serena C28 Premium Highway Star yang praktikal untuk keluarga.
Pada harga sekitar RM174,000 untuk varian Premium Highway Star, Nissan Serena C28 menawarkan pakej yang cukup lengkap sebagai sebuah MPV keluarga. Kabin luas, akses keluar masuk mudah dengan pintu gelangsar dan lantai rendah, baris kedua selesa, manakala sistem e-POWER memberikan tindak balas pantas seperti EV dengan penggunaan bahan api sebenar sekitar 16km/l.

Ia turut hadir dengan waranti kenderaan lima tahun atau 100,000km serta perlindungan komponen elektrifikasi sehingga lapan tahun atau 160,000km, menjadikannya pilihan yang praktikal untuk kegunaan keluarga dan perjalanan jarak jauh.
Namun, pembeli perlu menerima beberapa kompromi kerana Serena masih tiada kerusi elektrik dan pintu belakang berkuasa, karakter pemanduannya yang lembut dengan stereng ringan dan body roll jelas tidak sesuai untuk mereka yang gemar memandu agresif.
Jika semua kekurangan ini bukan isu besar dan keutamaan anda ialah ruang, keselesaan, praktikaliti serta penggunaan bahan api yang baik, Serena C28 Premium Highway Star masih merupakan antara MPV keluarga yang paling masuk akal untuk dipertimbangkan.







