
iCAUR RASMI BUKA PUSAT 3S PERTAMA DI KOTA KINABALU
iCAUR Malaysia terus memperkukuhkan rangkaian perniagaannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan Pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) pertama di Kota Kinabalu, Sabah bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat di rantau berkenaan.
Pusat 3S yang dikendalikan oleh Universal Icar Sdn Bhd itu menawarkan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung, termasuk jualan kenderaan baharu, servis selepas jualan, bekalan alat ganti tulen serta sokongan pemilikan kepada pelanggan iCAUR di Sabah dan kawasan sekitarnya.
Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin berkata, pembukaan pusat berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat memperluaskan rangkaian pengedarnya di seluruh negara.

Beliau berkata, kewujudan pusat 3S di Kota Kinabalu membolehkan pelanggan di Sabah menikmati pengalaman jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang setanding dengan pelanggan di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, ketika ini iCAUR memiliki 21 pusat jualan di seluruh negara dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 30 buah menjelang penghujung 2026.
Selepas Sabah, Sarawak pula dikenal pasti sebagai destinasi seterusnya bagi menyokong pertumbuhan permintaan di Malaysia Timur.

Dibina di atas kawasan seluas 1,170 meter persegi, pusat 3S berkenaan mampu mempamerkan sehingga empat kenderaan pada satu-satu masa serta dilengkapi tiga ruang servis khas.
Kemudahan lain yang disediakan termasuk ruang penyerahan kenderaan, dua stesen pengecasan EV persendirian, ruang istirahat pelanggan dengan kemudahan Wi-Fi dan sajian ringan percuma, selain zon permainan interaktif untuk pengunjung.
Selaras dengan identiti jenama yang membawa konsep Born to Play, pusat ini bukan sekadar berfungsi sebagai bilik pameran, malah direka sebagai ruang yang membolehkan pelanggan mengenali jenama iCAUR, mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan atau mengecas kenderaan dalam suasana yang lebih selesa.

Pembukaan pusat baharu itu juga dilihat selari dengan sambutan positif terhadap rangkaian SUV iCAUR yang mengetengahkan gabungan reka bentuk Boxy Retro Classic, ciri praktikal untuk kegunaan harian serta karakter lasak yang sesuai dengan gaya hidup pengembaraan.
Waktu operasi Pusat 3S iCAUR Kota Kinabalu
Pusat Jualan
- Isnin hingga Jumaat: 8.30 pagi – 6.00 petang
- Sabtu: 8.30 pagi – 4.00 petang
- Ahad & Cuti Umum: 10.00 pagi – 3.00 petang
Pusat Servis
- Isnin hingga Jumaat: 8.00 pagi – 5.00 petang
- Sabtu: 8.00 pagi – 3.00 petang
- Ahad & Cuti Umum: Tutup


