Buletin

AUTO CONNEXION TERIMA PENGHORMATAN GLOBAL ATAS SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) telah menerima pengiktirafan antarabangsa atas usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berterusan dengan dianugerahkan ‘Salute to Dealers’ 2025 oleh Ford Motor Company.

Sebagai salah satu daripada enam pengedar di dunia yang menerima anugerah ini, pencapaian ini mengukuhkan komitmen Auto ConneXion dalam membantu komuniti menerusi pelbagai inisiatif sejak lebih sedekad lalu.

Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair, menyatakan bahawa anugerah ini mencerminkan usaha syarikat dalam memperkasa komuniti setempat. “Kami berasa amat bangga menerima pengiktirafan ini. Ia mengesahkan dedikasi kami dalam melaksanakan program CSR yang memberi impak positif kepada masyarakat Malaysia,” katanya.

Sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini, Auto ConneXion telah melaksanakan pelbagai projek komuniti, termasuk Projek Air Bersih, Ford Mobile Clinic dan The Lost Food Project.

Salah satu inisiatif utama, Projek Air Bersih, dilaksanakan dengan kerjasama NGO MyFundAction bagi membekalkan sumber air bersih yang berterusan kepada komuniti yang memerlukan di Gerik, Perak.

Selain itu, Auto ConneXion juga berperanan dalam menangani isu keterjaminan makanan melalui kerjasama dengan The Lost Food Project. Bersama Ford Philanthropy, syarikat ini telah menyumbang USD45,000 (sekitar RM200,000) bagi menyokong misi mengumpul lebihan makanan untuk disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan.

Hasilnya, sumbangan ini berjaya menyediakan sekitar 855,000 sajian makanan berkhasiat. Seramai 25 sukarelawan Auto ConneXion turut turun padang membantu proses penyisihan makanan di gudang The Lost Food Project di Kuala Lumpur, di mana 3,820kg makanan berjaya diselamatkan, bersamaan dengan lebih 10,900 hidangan.

Dalam usaha meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan kawasan yang dilanda bencana, Auto ConneXion bekerjasama dengan Yayasan Sime Darby dan Ford Philanthropy dalam melancarkan Ford Mobile Clinic.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Auto ConneXion bersama Yayasan Sime Darby telah menyumbang sebuah Ford Ranger, manakala Ford Philanthropy menyumbang USD55,000 (sekitar RM250,000) untuk pengubahsuaian kenderaan menjadi klinik bergerak yang dilengkapi dengan peralatan perubatan penting seperti monitor tanda hayat, alat bantuan pernafasan serta kelengkapan diagnostik.

Untuk makluman, klinik ini telah memberikan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 2,200 individu sepanjang tahun 2025.

Anugerah ‘Salute to Dealers’ menandakan komitmen Ford selama 25 tahun dalam menghargai pengedar yang memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat.

Google ads
Back to top button