Advertisements
Pandu Uji

CHERY TIGGO 8 PHEV – 1.5 JER TAPI CUNGAP ORANG NAK KEJAR

Tahun lepas penulis berpeluang memandu uji Chery Tiggo 8 PHEV sebanyak dua kali, iaitu di Litar Antarabangsa Sepang dan menerusi cabaran perjalanan jarak jauh mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh kira-kira 1,200 kilometer. Untuk sesi ujian kedua pula, penulis berpeluang menilai kemampuan sistem plug-in hybrid (PHEV) yang ditawarkan, termasuk kecekapan penggunaan bahan api dan prestasi keseluruhannya.

Selepas hampir setahun, penulis meminta Chery satu lagi peluang untuk menguji SUV ini selama 6 hari. Kali ini, pendekatan ujian lebih tertumpu kepada penggunaan harian bersama ahli keluarga, keselesaan, aspek praktikaliti serta bagaimana karakter pemanduannya selepas digunakan dalam tempoh yang lebih panjang.

Bermula dengan bahagian hadapan, Chery Tiggo 8 PHEV menggunakan gril berbentuk heksagon dengan kemasan krom yang mengingatkan penulis kepada konsep Audi Singleframe. Permukaan jeriji depan dihiasi corak potongan berlian tiga dimensi atau 3D diamond cuts yang memberikan sedikit tekstur dan karakter kepada bahagian muka SUV ini.

Lampu utamanya pula menggunakan rekaan nipis dan tajam dengan teknologi projektor LED mengingatkan kita pada rekaan lampu Audi. Ia digabungkan dengan lampu nyalaan siang DRL serta fungsi Adaptive High Beam (AHB). Secara keseluruhan, wajah hadapan Tiggo 8 PHEV kelihatan moden dengan identiti tersendiri, walaupun terdapat sedikit persamaan bahasa reka bentuk dengan jenama premium Eropah.

Bahagian bampar hadapan mempunyai beberapa elemen potongan aerodinamik atau aero cuts yang menjadikan penampilannya lebih agresif. Reka bentuk ini diteruskan pada rim bersaiz 19 inci yang dilengkapi penutup aerodinamik atau aero cover. Elemen reka bentuk berbentuk taring atau fang turut digunakan pada bahagian tertentu bampar.

Dengan jarak roda 2,710 mm, profil sisi Tiggo 8 PHEV kelihatan seimbang dengan rekaan sisi yang tidak terlalu menjolok mata ataupun kelihatan terlalu bosan. Kemasan krom digunakan pada bahagian atas cermin sisi, pada bahagian bawah cermin sisin dan juga pada bahagian bawah pintu bagi memberikan sedikit sentuhan premium.

Penulis juga menyukai pendekatan reka bentuk keseluruhannya kerana Chery tidak terlalu berlebihan menggunakan garisan atau lekuk pada badan. Ia tidak kelihatan terlalu sarat, tetapi pada masa sama tidak terlalu kosong seakan-akan bahasa rekaan Mazda dan pada pandangan penulis rekaan sebegini akan lebih evergreen.

Beralih ke bahagian belakang, rekaan lampu kombinasi LED dengan kesan tiga dimensi dan animasi pencahayaan memberikan identiti tersendiri, khususnya ketika kunci ditekan atau SUV ini mengesan kunci berada berhampiran kereta. Bagaimanapun, secara peribadi penulis merasakan bahagian bampar bawa mempunyai terlalu banyak elemen reka bentuk sehingga kelihatan agak sibuk.

Sebagai contoh, dua kemasan ekzos pada bampar belakang juga sekadar hiasan dan bukannya saluran ekzos sebenar. Satu lagi perkara yang agak mengecewakan ialah ketiadaan fungsi pintu but automatik atau power tailgate yang merupakan ciri penting untuk SUV keluarga 7 tempat duduk.

Dari segi ruang kargo, kapasiti yang ditawarkan ialah 193 liter apabila tujuh tempat duduk digunakan, meningkat kepada 494 liter apabila barisan tempat duduk ketiga dilipat dan boleh mencapai sehingga 1,930 liter apabila kedua-dua barisan belakang dilipat.

Tiggo 8 PHEV menggunakan sistem Chery Super Hybrid yang menggabungkan tiga komponen utama, iaitu Dedicated Hybrid Engine, Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan bateri berkapasiti tinggi.

Enjin yang digunakan merupakan unit 1.5 liter TGDi yang menggunakan kitaran pembakaran Deep Miller Cycle, menghasilkan kuasa 143 PS dan tork 215 Nm. Enjin ini menawarkan kecekapan terma sehingga 44.5%, angka yang agak tinggi untuk enjin pembakaran dalaman.

Enjin ini kemudian digabungkan dengan motor elektrik yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork 310 Nm, dan gabungan enjin dan motor elektrik membolehkan Tiggo 8 PHEV menghasilkan kuasa sistem keseluruhan 279 PS dan tork 365 Nm. Transmisi DHT pula bukan sekadar menyalurkan kuasa kepada roda, tetapi turut menguruskan hubungan antara enjin pembakaran dalaman dengan motor elektrik, memilih menggunakan mode hibrid atau series berdasarkan keadaan pemanduan

Sistem ini membolehkan Tiggo 8 PHEV beroperasi dalam beberapa mod berbeza, termasuk Pure EV, Series, Parallel dan Direct Drive. Dalam mod EV, kenderaan bergerak menggunakan kuasa bateri dan motor elektrik sepenuhnya. Mod Series pula membolehkan enjin berfungsi sebagai penjana untuk membekalkan tenaga elektrik kepada sistem pacuan.

Dalam mod Parallel, enjin dan motor elektrik boleh bekerjasama untuk menggerakkan kenderaan, manakala Direct Drive membolehkan kuasa enjin disalurkan secara mekanikal kepada roda apabila keadaan pemanduan bersesuaian. Sistem hibrid ini menggunakan bateri jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.3 kWh yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 90 kilometer berdasarkan maklumat yang diberikan.

Untuk pengecasan, Tiggo 8 PHEV menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan DC sehingga 40 kW. Ini memberikan fleksibiliti kepada pemilik untuk mengecas di rumah menggunakan pengecas AC atau memanfaatkan pengecas pantas DC ketika melakukan perjalanan jauh. Bateri ini turut mempunyai penarafan perlindungan IP68 yang menawarkan perlindungan tinggi terhadap kemasukan habuk dan air.

Memasuki ruang kabin, Chery mengambil pendekatan reka bentuk moden tetapi tidak terlalu sarat dengan elemen futuristik. Penulis sebenarnya lebih menyukai pendekatan ini kerana masih terdapat beberapa suis fizikal untuk fungsi penting seperti tombol gear, lampu, signal, pengelap cermin, penyaman udara, 3 mode pemanduan (Eco, Normal, Sport) dan mod pemanduan EV/HEV.

Bahagian papan pemuka didominasi skrin multimedia bersaiz 15.6 inci yang digabungkan dengan paparan meter digital 10.25 inci. Skrin tengah ini turut mempunyai fungsi pintasan melalui gerakan swipe ke atas untuk mengakses beberapa fungsi tertentu, manakala swipe ke bawah membolehkan pengguna mengakses kawalan penyaman udara.

Walaupun sistem ini kelihatan moden, penulis merasakan penggunaan taskbar yang sentiasa kekal pada bahagian bawah skrin ketika sambungan Android Auto atau Apple Car Play aktif akan menjadi penyelesaian lebih praktikal. Ini kerana pemandu tidak perlu melakukan gerakan swipe setiap kali mahu mengakses fungsi yang kerap digunakan.

Untuk kemudahan penumpang, terdapat dua port USB, ruang penyimpanan depan, pengecas tanpa wayar dan perehat tangan dengan ciri penyejuk untuk minuman disediakan. Sistem pencahayaan ambien turut memberikan suasana lebih menarik pada waktu malam.

Tempat duduk hadapan mempunyai pelarasan kuasa elektrik dan menawarkan kontur yang cukup baik untuk menyokong badan untuk tempoh yang lama. Material yang digunakan juga terasa sedap apabila bersentuhan dengan jari penulis, termasuklah door trim, papan pemuka dan juga stering yang dibalut dengan bahan yang berkualiti

Bagaimanapun, penulis agak terkilan kerana tempat duduk pemandu tidak dilengkapi fungsi memory seat. Ciri ini sepatutnya menjadi antara kelengkapan yang dipertimbangkan untuk sebuah SUV dalam segmen dan kedudukan harga Tiggo 8 PHEV. Diameter stereng pula dirasakan sesuai dan tidak terlalu besar. Kedudukan pedal minyak menggunakan konsep organ-type pedal yang mengurangkan stress pada pada kaki pemandu.

Bagi penumpang baris kedua, ruang kaki yang disediakan agak baik, namun terdapat beberapa perkara yang penulis rasa boleh diperbaiki. Sebagai contoh kedudukan corong penyaman udara di bahagian tengah agak rendah dan sepatutnya dipasang di bahagian bumbung atau tiang B untuk mengalirkan udara sejuk ke barisan ke 3.

Kawalan corong penyaman udara tersebut juga bukanlah yang paling praktikal untuk digunakan walaupun masih boleh mengalirkan udara ke kiri atau kanan. Selain itu, fungsi pelarasan sudut sandaran tempat duduk agak terhad dan tidak cukup selesa jika dibandingkan dengan Alza sebagai contoh

Sistem audio pula menggunakan pembesar suara Sony menawarkan kualiti bunyi yang agak baik jika dibandingkan dengan pembesar suara OEM lain manakala operasi skrin dengan kuasa pemprosesan Qualcomm Snapdragon menawarkan operasi yang lancar. Terdapat 2 poin USB untuk barisan kedua selain butang untuk melarasan tempat duduk penumpang depan sekiranya Tiggo 8 digunakan sebagai limosine.

Untuk mengakses barisan ketiga, penumpang perlu masuk melalui bahagian kanan tempat duduk baris kedua dimana ini adalah perkara biasa bagi negara dengan pemanduan sebelah kiri. Pada pandangan penulis, akses dari sebelah kiri dengan ciri 40:60 di sebelah kiri mungkin lebih praktikal bagi pasaran dalam negara. Barisan ketiga turut mempunyai fungsi recline, tempat meletakkan cawan dan soket 12v

Tiggo 8 PHEV menawarkan 3 pilihan mod pemanduan seperti Eco, Normal dan Sport, selain pilihan pengurusan sistem hibrid HEV dan EV. Dalam mode Sport, penulis mendapati enjin hidup dengan lebih kerap untuk mengecaj bateri selain daripada memberikan respon yang lebih agresif. Bagi mode Eco, operasi enjin menjadi lebih santai.

Karakter pemanduannya lebih menyerupai sebuah kereta elektrik berbanding SUV petrol konvensional. Ini menjadikan respos pedal pendikit sangat lancar dan kuasa disalurkan kepada roda dengan efektif. Ia bagaikan anda memandu sebuah EV yang lengkap dengan enjin sebagai Range Extender

Penulis mendapati apabila kapasiti bateri berkurangan, enjin pembakaran dalaman akan mengambil peranan untuk menghasilkan tenaga mengikut strategi operasi sistem hibrid dan mengekalkan bateri pada 30%. Ini membolehkan pemandu meneruskan perjalanan tanpa perlu terlalu risau mengenai jarak perjalanan elektrik yang masih berbaki.

Dengan output keseluruhan 279 PS dan 365 Nm, Tiggo 8 PHEV mempunyai tenaga yang mencukupi untuk memotong kenderaan lain dan memecut keluar dari persimpangan walaupun berat keseluruhan SUV ini mencecah 1.9 tan.

Dalam satu ujian terhad, Tiggo 8 memecut seperti chetah terlepas dari kandang. menekan pedal minyak tanpa melihat meter laju boleh menyebabkan anda mengucap panjang. Power dan l;aju rupanya walaupun rekaan luar seperti SUV untuk keluarga besar

Namun penulis rasakan pedal brek memerlukan tekanan yang agak kuat untuk menghasilkan daya membrek yang penulis mahukan.

Kedudukan pedal brek juga terasa lebih tinggi berbanding pedal minyak menjadikan penulis perlu mengubah tumit kaki ketika membrek dengan kerap di laluan Grik-Jeli. Pemandu perlu membiasakan diri dengan karakter ini dan memastikan jarak dengan kenderaan di hadapan sentiasa mencukupi. Sistem regenerative braking pula menawarkan tiga tahap pelarasan yang membolehkan pemandu memilih tahap nyahpecutan ketika melepaskan pedal pendikit.

Bahagian yang paling kurang meyakinkan penulis sepanjang tempoh ujian tujuh hari ini ialah karakter stereng. Stereng Tiggo 8 PHEV terasa terlalu ringan, khususnya ketika memandu pada kelajuan lebih tinggi. Apabila menekan pedal pendikit dan membawa SUV ini masuk ke selekoh berbentuk S, pemandu perlu memberikan komitmen yang lebih tinggi untuk mengawal arah kenderaan.

Maklum balas daripada stereng tidak begitu meyakinkan dan penulis merasakan sistem Electric Power Steering (EPS) masih mempunyai ruang untuk penalaan semula. Selain berat stereng, aspek steering return atau keupayaan stereng untuk kembali ke kedudukan asal selepas mengambil selekoh juga boleh diperbaiki. Penulis turut merasakan talaan suspensi hadapan dan komponen seperti bushing mungkin mempunyai pengaruh terhadap karakter pengendaliannya.

Untuk kegunaan harian, talaan suspensi Tiggo 8 PHEV jelas lebih menjurus kepada keselesaan. Ketika melalui bonggol jalan dan permukaan tidak rata pada kelajuan rendah, ia memberikan tindak balas yang lembut dan selesa. Namun ketika melalui jalan tidak rata pada kelajuan tinggi, Tiggo 8 terasa sedikit membuai dan cesi kenderaan boleh berayun sehingga dua kali sebelum kembali stabil.

Penulis merasakan perkara ini berkait dengan kadar spring atau spring rate yang agak lembut, selain tetapan penyerap hentak yang mungkin terlalu lembut. Khususnya, kawalan rebound damping dirasakan belum cukup untuk mengawal pergerakan badan selepas suspensi menerima hentakan. Dengan berat kenderaan sekitar 1.92 tan, kawalan pergerakan badan atau body roll juga menjadi sesuatu yang perlu diberikan perhatian.

Satu aspek yang boleh dipuji ialah tahap kesenyapan kabin atau Noise, Vibration and Harshness (NVH). Bunyi angin dan bunyi tayar yang memasuki ruang kabin berada pada tahap minimum. Dalam perjalanan jauh, keadaan ini diterjemahkan pada pemanduan yang lebih santai, khususnya apabila sistem hibrid beroperasi menggunakan motor elektrik.

Bagaimanapun, penulis ada mendengar bunyi tayar berdecit ketika melakukan pecutan kuat, khususnya ketika keluar dari persimpangan. Bunyi ini mungkin berkait dengan cengkaman tayar ketika menerima penghantaran tork yang tinggi dalam masa yang singkat

Dari segi penggunaan tenaga, ujian kali ini dibuat dengan bateri berada pada 30% sahaja manakala petrol diisi penuh. Dengan kelajuan pemanduan ketika itu tidak melebihi 120 km/j, SUV ini mencatatkan bacaan sekitar 18.6km per liter. Namun apabila membawa enam penumpang dengan muatan penuh, penggunaan bahan api berada sekitar 15 hingga 16 km/liter dengan pemanduan yang agak agresif

Angka ini memberikan gambaran bahawa sistem Chery Super Hybrid mampu menawarkan kecekapan yang baik seperti yang dicatatkan sebelum ini pada 27.7km per liter, tetapi penggunaan sebenar tetap bergantung kepada keadaan bateri, corak pemanduan, kelajuan, keadaan jalan dan jumlah muatan kenderaan.

Jadi jika saya ditanya “adakah berbaloi beli Tiggo 8 PHEV ni”? Jawapan saya mudah, jika anda sedang mencari SUV besar 7 tempat duduk dengan teknolohgi PHEV, anda boleh pertimbangkan SUV ini. Tapi ingat, semua kereta tak sempurna dan hakikat ini akan menyelamatkan emosi anda di kemudian hari

Google ads
Back to top button