
LEAPMOTOR C1O, B10 KINI CKD DI GURUN – HARGA MULA RM118K
Stellantis Malaysia mengumumkan bahawa dua model elektrik jenama Leapmotor, iaitu C10 dan B10, kini dipasang sepenuhnya di kilang Stellantis Gurun, Kedah.
Pencapaian itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha syarikat memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik (EV) tempatan, selain menyokong pembangunan industri automotif berteknologi tinggi di Malaysia.
Bagi menjayakan projek pemasangan tempatan tersebut, Stellantis melaburkan sebanyak EUR5.3 juta untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran, termasuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di kilang Gurun.
Semua kenderaan yang dihasilkan turut mematuhi piawaian global yang digunakan oleh Stellantis dan Leapmotor bagi memastikan kualiti pengeluaran yang konsisten.

Leapmotor C10 kini dengan pilihan warna baharu
Leapmotor C10 yang dipasang di Malaysia kini ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu Violet dan Lightning White, selain pilihan sedia ada Canopy Grey serta Glazed Green.
Ruang kabin pula menggunakan material tekstil silikon mesra pengguna yang mendapat pensijilan OEKO-TEX Standard 100. Varian berwarna Glazed Green dipadankan dengan kemasan dalaman Camel Brown, manakala warna lain hadir dengan kabin hitam.
Dari segi prestasi, C10 digerakkan oleh motor elektrik jenis Permanent Magnet Synchronous yang menghasilkan 218hp dan 320 Nm tork. Kuasa disalurkan melalui pek bateri berkapasiti 69.9kWh yang membolehkan SUV itu mencapai jarak perjalanan sehingga 424 kilometer mengikut piawaian WLTP.
Leapmotor B10 ditawarkan dalam satu varian

Sementara itu, Leapmotor B10 merupakan SUV elektrik segmen-C global yang dibangunkan berasaskan platform LEAP3.5.
Model tersebut ditawarkan dalam satu varian iaitu DESIGN, lengkap dengan bateri 67.1kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 434 kilometer mengikut standard WLTP.
Empat pilihan warna luaran disediakan terdiri daripada Starry Night Blue, Tundra Grey, Metallic Black dan Light White.
Kesemua pilihan warna itu dipadankan dengan kemasan dalaman Dark Grey yang menampilkan imej moden dan berteknologi tinggi.
Seperti C10, B10 turut menggunakan material tempat duduk yang menerima pensijilan OEKO-TEX Standard 100.

Kunci fizikal kini ditawarkan
Bagi meningkatkan kemudahan pengguna, Leapmotor turut memperkenalkan pilihan aksesori kunci kawalan jauh fizikal (Remote Key Fob) untuk kedua-dua model C10 dan B10.
Aksesori itu boleh didapati oleh pembeli baharu serta pemilik sedia ada di seluruh negara.
Harga di Malaysia
Leapmotor C10 (CKD)
- Harga: RM125,000
- Bateri: 69.9kWh
- Kuasa: 218hp
- Tork: 320Nm
- Jarak perjalanan: 424km (WLTP)
Leapmotor B10 (CKD)
- Harga: RM118,800
- Bateri: 67.1kWh
- Jarak perjalanan: 434km (WLTP)
Kedua-dua model ditawarkan dengan jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 kilometer, yang mana terdahulu.







