Buletin

VIPER NIZA RACING SERTAI MICHELIN 12 HOURS OF SPA FRANCORCHAMPS

Pasukan perlumbaan Viper Niza Racing dari Malaysia kembali menggegarkan pentas perlumbaan dengan menyertai perlumbaan berprestij Michelin 12 Hours of Spa Francorchamps di Belgium pada 18-20 April 2025.

Dibarisi pemandu tempatan sepenuhnya – Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh – Viper Niza Racing bakal bersaing dalam kategori GT3/AM dengan jentera Mercedes-AMG GT3 Evo.

Dalam kelas ini, mereka akan bertarung menentang jentera hebat lain seperti Lamborghini Huracan GT3 Evo, Audi R8 LMS GT3 Evo II, dan Aston Martin Vantage AMR GT3 Evo – antara barisan gergasi dalam perlumbaan yang menyaksikan lebih 40 buah kereta dan 10 pengeluar bertarung dalam lima kelas utama.

Litar Spa Francorchamps tidak asing lagi dalam dunia perlumbaan. Terkenal dengan kelajuan tinggi, 19 selekoh mencabar dan cuaca yang sukar dijangka, litar sepanjang 7.004km ini telah menjadi pentas pelbagai perlumbaan ikonik sejak awal abad ke-20.

Dibuka pada tahun 1925 dengan panjang asal 14.1km sebelum dipendekkan kepada konfigurasi semasa atas faktor keselamatan pada 1979, Spa kekal menjadi lokasi tetap Grand Prix Formula Satu Belgium sejak 1985 (kecuali 2003 dan 2006).

Bagi trio pemandu Viper Niza, Spa bukan sekadar sebuah litar sukar – ia adalah tempat kenangan manis apabila mereka muncul juara kategori PRO/AM dalam perlumbaan TCR SPA500 pada 2019 dengan jentera Seat Cupra TCR DSG.

“Litar Spa punya tempat istimewa dalam hati kami,” ujar Douglas Khoo yang juga mengetuai pasukan. “Ia menuntut ketahanan fizikal dan mental kerana kelajuan tinggi dan cuaca yang sukar dijangka. Tetapi ia juga tempat kami cipta sejarah.”

Tahun ini menandakan musim ketiga Viper Niza Racing bersaing dalam kategori GT3 – satu kelas yang penuh dengan persaingan sengit.

Moral pasukan turut didorong oleh kejayaan terbaharu di Motul 12 Hours of Sepang – muncul juara kategori GT AM Masters dan naib juara GT AM.

Dominic Ang pula turun ke Spa hanya seminggu selepas menamatkan perlumbaan GT World Challenge Asia di Sepang dengan kedudukan ke-14 keseluruhan dan tempat keempat dalam kelas SIL/AM.

Selepas aksi di Belgium, Viper Niza akan meneruskan misi mereka di Eropah dengan menyertai 12 Hours of Misano (Itali, 23-24 Mei), 12 Hours of Paul Ricard (Perancis, 3-5 Julai), 24 Hours of Barcelona (Sepanyol, 26-28 September), dan Shanghai 8 Hours pada Oktober nanti.

Untuk musim 2025, Motul terus menjadi penaja utama pasukan ini. Mereka turut mendapat sokongan daripada jenama seperti Endless & Momentum Autoparts, jam rasmi IWC, serta hotel Jen Orchard Gateway dari Singapura.

Google ads
Back to top button