
BENELLI LEONCINO VERSI ‘BOBBER’ LANCAR DI CHINA – ENJIN V2 400CC, 35HP
Pasaran motosikal 400 hingga 450cc kini menjadi tumpuan dengan beberapa pengeluar sudah pun memperkenalkan tawaran masing-masing.
KTM 390 Duke, Kawasaki Ninja 400, Bajaj Dominar D400, Kove 400RR, Triumph Speed 400 dan Triumph Scrambler 400 X. Kemudian bagi segmen 450cc, CFMoto antara jenama yang curi tumpuan dengan 450MT, 450SR dan 450NK.

Terbaru, jenama motosikal Itali-China, Benelli, telah memperkenalkan Leoncino Bobber 400 di China.
Sebelum ini, nama Leoncino merujuk kepada motosikal naked dengan gaya retro. Namun, bagi tahun 2024, Benelli memperluas tawaran dengan versi ‘bobber’.

Untuk rekod, Benelli mendedahkan Leoncino Bobber ketika di Beijing, Mei lalu namun ketika itu, Benelli tidak mendedahkan info terperinci sehinggalah dokumen baharu difailkan di China baru-baru ini.
Menurut data dikongsikan, Leoncino Bobber ini dikuasakan enjin V2 dua silinder 385cc yang menawarkan 35hp. Menariknya, Benelli mendakwa motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksima 152km/j.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- fork USD depan
- cakera brek depan dan belakang
- tayar 130/90-16 depan
- tayar 150/60-16 belakang
- berat 170kg

Meskipun gaya retro namun Leoncino Bobber ini juga hadir dengan kelengkapan moden termasuk pencahayaan LED penuh, meter TFT berbentuk bulat serta ABS.
Difahamkan, Benelli akan merasmikan Leoncino Bobber ini di EICMA pada November ini.