
KAYA TAPI TAK SUKA MENUNJUK? BELI VW TOUAREG R-LINE 2024
“Gan, kau nak shoot ke time masuk off-road nanti,” soal saya.
“Tak payah la Syuk, bukan ada orang beli Touareg yang harga dekat RM500,000 lepas tu bawa masuk dalam hutan redah sungai semua,” jawab Gan sambil tersengih.
A few moments later…

“OK semua, sila tekan butang off-road yang ada pada konsol tengah sebab kita akan masuk ke jalan off-road tidak lama lagi,” kata suara marshall dari walkie-talkie ketika rombongan kami mula memasuki jalan kampung menghala ke Sungai Lembing, Kuatan Pahang.
Sesi laluan off-road merupakan sebahagian daripada program pandu uji yang disediakan oleh pihak Volkswagen Passanger Car (VPCM) bagi menguji keupayaan sebenar SUV flagship mereka itu.
Rasa mengantuk selepas makan tengah hari di Warong Tersorok di Panching Selatan hilang serta-merta kerana setiap pemandu perlu lebih peka ketika hendak mengharung laluan yang agak mencabar itu.

Namun, kami tidak rasa bimbang kerana Touareg bukanlah jentera yang asing dengan cabaran sebegitu. Malah apabila ia mula dibina pada tahun 2002 bersama Porsche, Volkswagen sememangnya telah memposisikan Touareg sebagai SUV mewah bersama keupayaan meredah laluan off-road.
Maka, tidak hairanlah jika SUV jenis unibody berkenaan didatangkan dengan sistem suspensi bebas bersama beberapa pilihan enjin seperti V6, V8 dan V12 untuk pasaran berbeza.
Kalau anda masih ingat, Touareg pernah hadir di pasaran Malaysia seawal tahun 2004 dengan varian enjin bersesaran 3.2 liter.
Tiga tahun kemudian, Volkswagen Group (VGM) menawarkan pula model facelift yang dikuasakan oleh enjin 3.6 liter V6. Pilihan SUV itu kemudian ditambah dengan varian hibrid dan terakhir menerusi varian diesel TDI 3.0 liter turbo V6 pada tahun 2012 sebelum ia hilang dari radar.

Namun selepas hampir 12 tahun, VPCM pada tahun ini secara tiba-tiba mengumumkan kehadiran semula generasi terkini Touareg. Lebih membanggakan, Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang memasang model itu di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang selain daripada kilang di Bratislava, Slovakia.
Meskipun tampil dengan rekaan terbaharu dan teknologi yang jauh lebih canggih berbanding model sebelumnya, Touareg R-Line masih mengekalkan DNA yang tidak kekok untuk meredah laluan sukar. Ini terbukti apabila kami menyusuri laluan berbatu dan tidak ditar di Kuantan.
Dilengkapi sistem suspensi udara, ketinggian jentera itu boleh dinaikkan sehingga 70mm dan diturunkan sebanyak 40mm secara automatik (self-levelling) atau mengikut kesesuaian dengan hanya perlu menekan butang pada konsol tengah. Jadi, mengharung jalan tidak rata dengan lubang yang dalam nyata tiada masalah.
Kemampuan sebenar Touareg R-Line sekali lagi diuji apabila kami perlu melalui sebatang sungai kecil dan laluan berbukit.

Walaupun hanya menggunakan tayar standard dan keupayaan mengharung air setinggi 550mm, semua halangan itu dapat dialui dengan begitu mudah. Perjalanan itu juga sebenarnya banyak dibantu oleh sistem pacuan semua roda 4MOTION yang memberi kestabilan serta kawalan terbaik dalam apa jua kondisi pemanduan.
Selain Off-Road, pemandu juga boleh memilih mode pemanduan lain seperti Eco, Comfort, Normal, Sport, Snow dan Invidual. Setiap mode berkenaan menawarkan perbezaan dari segi respons enjin/transmisi, maklum balas stereng, suspensi dan sebagainya. Senang cakap, SUV mewah ini memang versatil dan sesuai untuk apa sahaja corak pemanduan anda.
Setelah hampir sejam melalui jalan off-road, kami akhirnya tiba di tepi Sungai Pasir Puteri di Sungai Lembing. Di sana, kami disambut dengan beberapa buah khemah yang dipasang khas oleh VPCM, lengkap dengan hidangan petang seperti goreng pisang, keledek, keropok lekor, roti cicah gulai dan tembikai.
Terima kasih VPCM kerana buat setting begini, boleh juga saya nak healing-healing selepas sekian lama tidak berpiknik seperti ini.

Selain kemampuan meredah laluan off-road, Touareg R-Line dilihat lebih menonjol berbanding pesaingnya yang lain jika dilihat pada sistem keselamatan.
Harus tahu bahawa jentera ini dilengkapi sistem bantuan pemandu IQ.DRIVE yang terdiri daripada brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek automatik, bantuan parkir, sistem pemantauan tekanan angin tayar dan banyak lagi.
Tetapi, apa yang paling menarik perhatian saya ialah ciri Night Vision. Sistem itu mampu mengesan radiasi suhu sesuatu objek di hadapan walaupun pada waktu malam yang sangat gelap, berkabus dan hujan. Night vision turut disepadukan dengan ciri keselamatan lain seperti paparan pada MID dan brek kecemasan.
Menyentuh tentang rekaan luaran, Touareg R-Line tampil maskulin dengan rekaan berkotak-kotak. Ia diserlahkan dengan sepasang lampu utama automatik bersama ciri Dynamic Light Assist, lampu nyalaan siang LED, rim Braga bersaiz 20 inci, gayaan R-Line serta logo berlampu berwarna merah pada bahagian belakang.

Masuk ke ruang kabin pula, rekaan moden dapat dilihat menerusi bentangan skrin infohibur Discover Pro Max bersaiz 15 inci pada papan pemuka dan skrin TFT beresolusi tinggi Digital Cockpit bersaiz 12.3 inci untuk pemandu. Nikmati muzik kegemaran anda menerusi sistem audio DYNAUDIO dengan 13 unit pembesar suara.
Dari segi kuasa, Touareg R-Line dijana oleh enjin V6 3.0 liter TSI berkuasa 340PS dan tork setinggi 450Nm yang dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik. Dengan kuasa itu, meluncur di atas lebuh raya berasa cukup mengujakan, sedar-sedar dah melebihi had kelajuan yang ditetapkan.
Kami kembali semula ke Kuala Lumpur keesokan harinya selepas bermalam di Mangala Estate. Tetapi pada waktu paginya, kami sempat menghadiri satu sesi sidang media bersama Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev dan pegawai kanan VPCM. Berlangsung hampir sejam setengah, pelbagai soalan mengenai Touareg dijawab dengan jelas.
Antara yang menarik perhatian ialah siapakah pelanggan atau pembeli Touareg sebenarnya? Menurut Denyu, berdasarkan kepada data dalaman, pembeli SUV itu terdiri daripada golongan berpangkat tinggi serta pemilik perniagaan yang mahukan sebuah SUV mewah, tetapi tidak ingin memiliki jenama Jerman lain, lebih low-profile dan tidak suka menunjuk-nunjuk.

“Sasaran kami adalah untuk memperolehkan penguasaan sebanyak 10 peratus dalam segmen SUV mewah. Kami tahu ia agak ambitious, tetapi kami yakin daoat mencapainya, apatah lagi kerana mendapat sokongan padu daripada Volkswagen Group,” katanya.
Jika berminat, Touareg R-Line boleh anda miliki pada harga bermula RM472,000 bersama Pakej Jaminan Volkswagen (VAP). Anda juga boleh memilih daripada lima warna menarik iaitu biru, kelabu, hitam, putih atau perak.
- BACA: VOLKSWAGEN TOUAREG R-LINE DILANCARKAN – JANA 340PS, HARGA BERMULA RM469K
- BACA: BERMINAT NAK BELI VOLKSWAGEN ID. BUZZ? KAU SABAR JAP…
- BACA: VOLKSWAGEN JETTA GLI 2025 – SEBUAH SEDAN YANG SPORTY UNTUK MASA DEPAN
- BACA: EA888-ENJIN VOLKSWAGEN PALING LASAK & POWER. JEPUN PUN PENING
GALERI











