
BENELLI TRK 702 X MENDARAT DI MALAYSIA MEI INI – 70HP, 70NM
Baru-baru ini kami telah pun ke kilang MForce Bike Holdings terletak di Pulau Pinang bagi menguji beberapa model baharu yang akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia Bike Show 2026.

Antara model yang akan diperkenalkan termasuk Benelli TRK 702 X sekaligus menyaksikan jenama yang sebelum ini popular dengan model TRK 502 X kembali dengan model baharu.
Atas kertas, TRK 702 X dikuasakan enjin parallel-twin 698cc DOHC ini berupaya menjana 70hp pada 8,000rpm dan 70Nm pada 6,000rpm.

Antara kelengkapan ditawarkan termasuk fork USD 50mm dengan jarak gerak 140mm dan monoshock dibelakang dengan pelarasan preload, rebound dan compression.
Rekaan TRK 702 X ini dibangunkan sepenuhnya pusat rekaan Centro Stile Benelli di Pesaro, Itali dan menggabungkan gaya yang agresif dan aerodinamik. Menurut Benelli, setiap aspek termasuk penghadang angin, pelindung tangan semuanya direka khas bagi mempertingkatkan perlindungan dan prestasi.

Kuasa membrek pula dikendalikan cakera brek berkembar 320mm di hadapan dan dipadankan kaliper empat piston. Bahagian belakang pula menawarkan cakera 260mm dengan kaliper satu piston.
Menariknya, TRK 702 X ini turut dilengkapi dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR sebagai standard dengan rim 19-inci depan dan 17-inci belakang. Melengkapkan TRK 702 X adalah tangki berkapasiti 20L dengan berat 222kg.
GALERI: BENELLI TRK 702 X



















