Artikel Pilihan

BETUL KE MEMBIARKAN KERETA BERGERAK DALAM GEAR NEUTRAL LEBIH MENJIMATKAN? – TAK BETUL LANGSUNG

Ini salah satu mitos yang pernah abang dengar dan saksikan sendiri sebenarnya. Ada pemandu yang suka meletakkan gear dalam posisi neutral sebelum kereta berhenti dan juga semasa menuruni bukit. Alasannya? Jimat minyak la, apa lagi. Kalau diikutkan memang logik sebab bila gear diletakkan dalam posisi neutral, RPM pun akan jatuh ke paras yang paling rendah. Betul ke jimat minyak buat macam ni? Salah.

Teori ini telah diuji oleh Mike Allen dan Popular Mechanics, dan ternyata sebuah kereta moden akan membakar lebih banyak petrol sewaktu bergerak dalam posisi gear ‘Neutral’ berbanding ‘Drive’. Rasa tak logik? Teruskan membaca.

Jika kereta anda berada dalam keadaan statik tanpa fungsi Start/Stop dan anda meletakkan gear dalam posisi Neutral, ia akan melahu pada RPM yang minima. Apakah RPM minima? Ia adalah kelajuan putaran enjin yang mesti diteruskan untuk memusingkan pam pelincir dan pam air bagi memastikan enjin anda tidak akan terlalu panas dan mengalami kerosakan. Dalam keadaan melahu macam ni, enjin petrol biasa akan membakar sebanyak satu gelen (bersamaan dengan 3.785 liter) petrol sejam. Banyak tu tuan-tuan.

Sama juga keadaannya jika anda menukar gear ke posisi manual sewaktu memandu menuruni bukit.

Tapi kereta moden yang dipandu dalam posisi Drive akan membakar kurang dari satu gelen petrol berbanding tadi. Sebab apa? Ini kerana enjin akan menghentikan aliran petrol kerana ia tahu kuasa tarikan gravity akan membantu mengekalkan putaran enjin sekali gus memastikan pam pelincir dan pam air kekal berpusing. Benar, dengan menurun bukit pada posisi drive, anda sebenarnya tidak membakar petrol pun.

Allan telah menguji senario ini dengan mengukur arus elektrik yang mengalir ke penyuntik bahan api sewaktu bergerak dalam posisi Drive. Didapati memang enjin tidak melakukan suntikan petrol ke dalam selinder dalam senario disebutkan di atas.

Ianya berlaku disebabkan pihak pengeluar kenderaan memang akan menala enjin ke tahap penjimatan yang paling optima sebagai mematuhi peraturan EPA. Sebab itulah kenderaan-kenderaan moden sangat menjimatkan berbanding model-model lama.

Mungkin teknik berkesan pada kenderaan dengan kotak gear manual dengan menekan klac. Tapi silap-siap klac pula tak tahan lama.

Ingat kereta-kereta baharu ni memang mesin penjimat minyak jadi tak payah la nak rasa anda lebih bijak dari mereka yang menghasilkannya walaupun anda mempunyai deria kesepuluh. Lagi pun memandu dengan gear Neutral sewaktu turun bukit ni bahaya weh. Silap hari bulan memang terjunam dalam gaung terus.

Lagi satu lupakanlah penjimat minyak jenis tampal macam panti liner dan cucuk kat pencucuh rokok tu. Dah tahun 2025 kot takkan la kita tak jadi makin pandai.

Google ads
Back to top button