Artikel Pilihan

RUNNING-IN BAGI ENJIN MODEN – MITOS ATAU KEPERLUAN?

Running-in ataupun run-in atau juga diikenali sebagai break-in merupakan satu prosedur yang menjadi amalan sebaik memperolehi sebuah kereta ataupun mesin yang baharu. Ia bertujuan untuk menjaga enjin ataupun mesin agar tahan lebih lama. Biasanya dalam tempoh ini kereta ataupun jentera akan dipandu dengan penuh sopan santun mengalahkan anak dara nak kena pinang dengan jejaka berjawatan CEO dalam Megah Holding.

Memang ada dua pendapat dalam prosedur running-in ini sebenarnya. Sebelah pihak menyatakan yang anda mesti membelai enjin baharu macam bayi baru lahir. Tak boleh ganas-ganas sangat untuk 1,000 kilometer pertama biasanya. Satu pihak lagi pula menyatakan yang anda mesti memandu seperti baharu sahaja mencuri kereta tersebut. Jangan kasi can barulah potensi enjin sebenarnya terserlah. Kira mengajar dengan cara ganas la ni sebenarnya.

Mana satu betul ni? Menurut laman web SavageGeese dan kami rasa paling logik setakat ini, kedua pendapat tersebut ada benarnya.

Running-in ini sebenarnya bergantung kepada pengeluar dan jenis enjin tersebut. Enjin yang dikeluarkan secara besar-besaran contohnya untuk Honda CR-V, Toyota Vios, Perodua Myvi dan sebagainya boleh dikatakan tidak memerlukan prosedur running-in. Ia direka supaya anda boleh hidupkan enjin, masuk gear, tekan minyak dan jalan terus (jangan jalan kaki pulak).

Tapi enjin yang dihasilkan dengan tangan dan berprestasi tinggi seperti keluaran Ferrari, Porsche, Lamborghini dan lain-lain akan mendapat faedah dari proses running-in ni. Tak boleh la hidupkan enjin Ferrari kemudian besit sampai garisan merah sebelum keluar dari kawasan rumah.

Satu pendapat salah ialah enjin prestasi tinggi tidak perlukan running-in kerana ia telah dilakukan di kilang. Benar, ia memang diuji di kilang tetapi itu lebih kepada prosedur QC ataupun kawalan kualiti untuk memastikan enjin tersebut berfungsi dengan baik dan tidak mempunyai apa-apa kebocoran. Kereta seperti Corvette Z06 contohnya memang memerlukan proses running-in yang spesifik. Sebab tu kami tak beli. Tiber je.

Satu lagi topik yang sering diperdebatkan ialah penukaran pelincir selepas 1,000 kilometer pertama. Satu ketika dahulu ia dicadangkan oleh pengeluar untuk mengeluarkan sisa pencemaran dan enapan selepas proses running-in. Tapi kita kena ingat yang teknologi enjin dan pelinciran hari ini sudah jauh lebih maju berbanding 20 tahun dahulu. Boleh dikatakan penukaran selepas 1,000 kilometer pertama tidak perlu dilakukan. Tapi kalau nak tukar juga tak ada masalah pun. Duit masing-masing kan?

Jadi kalau nak lakukan juga proses running-in ni macam mana cara yang betul? Okey, mula-mula sekali semak dahulu buku panduan pengguna tu jika ada dinyatakan secara spesifik tentang langkah-langkah yang patut diambil untuk proses running-in.

Kalau tak dinyatakan, perkara terbaik yang anda boleh lakukan ialah memandu seperti biasa dan bukan macam sedang lari dari pembunuh bersiri. Berikan masa untuk enjin mencapai kepanasan yang sesuai (tak lama pun untuk enjin moden sebenarnya). Pelbagaikan kelajuan putaran enjin (RPM) dan jangan biarkan ia melahu pada putaran yang sama sepanjang masa (tapi tak payahlah tekan sampai garisan merah 24 jam) khususnya semasa di lebuh raya.

Satu perkara yang anda kena ingat, proses running-in ini bukan hanya melibatkan enjin tau. Ia juga melibatkan komponen lain seperti kotak gear, differential, brek, suspensi dan lain-lain. Jadi kalau nak ikut sangat proses running-in ni, jangan lupa beri perhatian sama kepada komponen yang lain.

Kami senang je, pusing kunci Alza, masuk gear dan jalan terus.

Kredit Motor1.com

Google ads
Back to top button