
BMW BANTU HASILKAN JENTERA PENGOREK HIBRID UNTUK MASA HADAPAN
Jentera pengorek atau backhoe merupakan sebuah jentera berat pelbagai fungsi yang sangat berguna. Baik untuk pembinaan, mengorek lubang ataupun membersihkan kawasan. Ia biasanya dikuasakan dengan enjin disel dan memerlukan operator yang mahir mengendalikannya. Teknologi moden juga membolehkan operator backhoe bekerja dalam suasana yang lebih baik dengan kabin yang selesa lengkap dengan penyaman udara.
Kini John Deere, antara pengeluar jentera berat terkemuka telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat subsidiari BMW, Designworks, untuk merekacipta backhoe terbaru dengan teknologi enjin hibrid. Nampaknya teknologi hibrid sudah makin berkembang.
Ini juga merupakan usahasama kali pertama BMW dan John Deere dalam menghasilkan backhoe kuning terang yang dikatakan cekap tenaga dan lebih mudah dioperasikan. Ia juga dikatakan lebih mesra alam sekitar. Namun buat masa ini jika dihasilkan pun ia akan menjadi model konsep kepada pembangunan seterusnya di masa hadapan.
Ia bukan dihasilkan secara langsung dengan BMW tetapi lebih kepada anak syarikat bahagian rekaan BMW. Pun begitu ia masih sebuah usahasama yang cukup menarik antara dua genre automotif yang berbeza.
Untuk keperluan pemuliharaan alam sekitar yang lebih baik, backhoe konsep ini akan dibekalkan dengan enjin hibrid. Walaupun butiran spesifikasi secara penuh belum dikeluarkan, ia dikatakan mempunyai jarak tapak roda yang lebih panjang untuk kabin yang lebih selesa.
Malah pintu keluar masuk juga lebih lebar berbanding model masa kini. Bahagian kawalan dan tempat duduk juga tidak akan dipasang secara terus kepada bahagian struktur pelindung untuk mengurangkan gegaran.
Bahagian paling menarik ialah rekaan tayar dan stereng terbaharu yang ada padanya. Tayar yang akan digunakan ialah tayar radial tanpa angin yang antara lain bersaiz lebih kecil dan bebas dari kebocoran.
Tayar-tayar ini juga akan dikawal menerusi sistem pacuan semua roda berkuasa elektrik untuk kawalan yang lebih baik. Sebagai sebuah jentera moden pula, ia akan dilengkapkan dengan pelbagai peralatan elektronik yang mampu memberikan peringatan awal dan panduan tentang komponen yang perlu diganti ataupun diselenggara.
Selain bergabung idea dengan Designworks, John Deere juga mendapatkan pandangan dan cadangan daripada pelanggan mereka untuk menambah baik backhoe konsep mereka ini. mereka juga bercadang mengurangkan berat keseluruhan jentera sebanyak dua puluh peratus dan mengurangkan impak kepada alam sekitar sebanyak sepuluh peratus untuk memenuhi kehendak pasaran di masa hadapan.
Oliver Heilmer, presiden Designworks menyatakan sebagai sebahagian daripada Kumpulan BMW, mereka cukup yakin dengan rekaan digital berteknologi tinggi yang digabungkan dengan ciri luaran yang bersih. Malah rekaan terbaharu ini akan mampu memenangi cabaran pasaran di masa akan datang.
Buat masa terdekat ia sememangnya tidak akan memasuki fasa pengeluaran tetapi jika proses rekaan diambil kira, idea-idea baharu ini mungkin akan muncul dalam produk-produk jentera John Deere terbaharu.