
JCB HYDROMAX CATAT 592.8KM/H DENGAN ENJIN HIBDROGEN
JCB mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan teknologi enjin pembakaran hidrogen apabila jentera berkelajuan tinggi Hydromax berjaya mencapai kelajuan 368.347 mph atau kira-kira 592.8 km/j dalam percubaan di Bonneville Salt Flats, Utah, Amerika Syarikat.
Pencapaian tersebut membuktikan usaha pengeluar jentera pembinaan Britain bahawa hidrogen bukan sahaja sesuai digunakan sebagai bahan api untuk sistem fuel-cell, malah boleh dibakar secara terus dalam enjin pembakaran dalaman.
Hydromax dibangunkan khusus sebagai kenderaan pemecah rekod dan menggunakan dua unit enjin pembakaran dalaman hidrogen yang berasal daripada teknologi enjin JCB untuk jentera pembinaan. Kedua-dua enjin tersebut menghasilkan kuasa gabungan sekitar 1,600 hp, dengan setiap enjin menghasilkan kira-kira 800 hp.

Berbeza dengan kenderaan hidrogen fuel-cell yang menghasilkan elektrik melalui tindak balas elektrokimia, sistem Hydromax membakar hidrogen secara terus di dalam kebuk pembakaran seperti konsep enjin petrol atau diesel konvensional.
Menurut syarikat itu, bateri elektrik mempunyai batasan dari segi berat, kapasiti tenaga dan tempoh operasi apabila digunakan pada jentera berat yang memerlukan kuasa tinggi untuk tempoh yang panjang. Tetapi enjin pembakaran hidrogen dilihat sebagai salah satu pilihan untuk mengurangkan pelepasan karbon tanpa mengorbankan karakter dan keupayaan sistem enjin pembakaran dalaman yang sudah terbukti.
JCB sebelum ini turut memperkenalkan enjin pembakaran hidrogen untuk aplikasi jentera berat. Untuk Hydromax, JCB menggabungkan dua enjin tersebut dengan sistem transmisi dan pacuan yang direka khusus bagi menghadapi keadaan ekstrem pada kelajuan hampir 600 km/j.

Kuasa daripada kedua-dua enjin disalurkan kepada keempat-empat roda, sementara keseluruhan badan kenderaan direka dalam bentuk streamliner yang sangat rendah dan aerodinamik bagi mengurangkan seretan udara ketika mencapai kelajuan tinggi.
Pembangunan Hydromax juga bukan sekadar memasang enjin hidrogen sedia ada ke dalam sebuah kereta rekod. JCB perlu melakukan pengubahsuaian besar terhadap sistem enjin bagi membolehkannya beroperasi pada tahap kuasa dan suhu yang jauh lebih tinggi berbanding penggunaan biasa dalam jentera pembinaan.
Antaranya termasuk sistem penyejukan, pengurusan bahan api, turbo dan komponen dalaman enjin yang perlu menanggung tekanan ekstrem ketika kenderaan dipandu pada kelajuan ratusan kilometer sejam. Pencapaian 368.347 mph itu turut mempunyai nilai simbolik kerana ia mengatasi rekod 350.092 mph yang dicatat oleh JCB Dieselmax pada 2006.

Dieselmax sebelum ini digunakan JCB untuk membuktikan kemampuan enjin diesel mereka di Bonneville, dengan Andy Green berada di belakang stereng. Green turut menjadi pemandu untuk projek Hydromax, menjadikan kedua-dua projek tersebut mempunyai kesinambungan yang cukup menarik dalam sejarah percubaan kelajuan JCB.
Yang lebih menarik, Hydromax bukan sekadar projek demonstrasi untuk membina sebuah kenderaan yang pantas. JCB mahu menggunakan program ini sebagai platform untuk menguji teknologi enjin pembakaran hidrogen dalam keadaan yang jauh lebih ekstrem daripada operasi biasa.
Data dan pengalaman yang diperoleh daripada projek tersebut berpotensi membantu pembangunan enjin hidrogen untuk aplikasi komersial, khususnya dalam sektor pembinaan dan industri berat.

Syarikat itu menganggap bateri elektrik lebih sesuai untuk sebahagian produk bersaiz kecil dan sederhana, manakala hidrogen mempunyai potensi lebih besar untuk aplikasi yang memerlukan tenaga tinggi dan tempoh operasi panjang.
Walaupun angka 592.8 km/j itu sendiri sudah cukup mengagumkan, nilai sebenar projek Hydromax terletak pada teknologi yang digunakan di belakangnya. JCB membuktikan bahawa enjin pembakaran dalaman masih mempunyai ruang dalam era peralihan kepada bahan api rendah karbon.
Percubaan Hydromax akhirnya menunjukkan bahawa enjin pembakaran hidrogen boleh menghasilkan tahap prestasi yang sangat tinggi apabila digabungkan dengan sistem aerodinamik, transmisi dan casis yang direka khusus.



