Buletin

TOYOTA PERTIMBANGKAN GR GT VERSI AERO TOP – LANCAR 2027, ANGGARAN HARGA RM818K

Toyota dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan barisan supercar GR GT menerusi pengenalan varian berbumbung terbuka yang berpotensi menghidupkan semula nama ikonik Aero Top, satu nama yang pernah digunakan pada Toyota Supra A80 sekitar era 1990-an.

Walaupun masih belum disahkan secara rasmi, laporan media automotif Jepun menyatakan Toyota sedang menilai sebuah GR GT dengan konsep bumbung jenis targa, iaitu panel bumbung yang boleh ditanggalkan secara manual.

Rekaan sedemikian membolehkan berat kenderaan dikekalkan pada tahap minimum berbanding sistem bumbung boleh lipat automatik. Bagaimanapun, pilihan menggunakan bumbung fabrik dengan mekanisme elektrik juga dikatakan masih dalam pertimbangan.

Sekiranya menjadi kenyataan, GR GT Aero Top akan mengekalkan struktur casis aluminium serta trenkuasa hibrid pengecasan sendiri yang sama seperti versi coupe.

Sistem itu menggabungkan enjin V8 4.0 liter dwi-turbo yang dipasang di bahagian tengah bersama motor elektrik di gandar belakang yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Varian berbumbung terbuka itu dijangka menawarkan alternatif kepada model-model supercar terbuka seperti McLaren Artura Spider, Ferrari 296 GTS dan Lamborghini Temerario Spyder, namun pada harga yang lebih kompetitif.

Dari segi harga, ia dijangka lebih hampir kepada model grand tourer seperti Porsche 911 Cabriolet, Mercedes-AMG SL, Aston Martin Vantage Roadster dan Ferrari Amalfi Spider.

Dalam masa sama, Toyota turut dilaporkan sedang membangunkan beberapa lagi varian GR GT. Prototaip yang diuji di Litar Nürburgring menunjukkan kewujudan versi dengan naik taraf aerodinamik sederhana serta satu lagi varian berprestasi tinggi yang lebih ekstrem, disasarkan untuk kegunaan litar.

Laporan turut mendakwa pengeluaran keluarga GR GT mungkin dihadkan kepada sekitar 500 unit, menyamai jumlah pengeluaran Lexus LFA.

Namun sebelum ini, Pengerusi Toyota, Akio Toyoda, pernah memberi bayangan bahawa versi jalan raya GR GT tidak semestinya akan dihasilkan dalam jumlah yang terhad.

Supercar baharu Toyota itu dijangka memasuki pasaran pada tahun 2027 dengan harga permulaan dianggarkan melebihi AS$200,000 (kira-kira RM818,200).

Google ads
Back to top button